Paling Popular
Terkini

Dua anggota polis menghabiskan masa lebih sejam untuk merakam keterangan daripada hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer hari ini.

Polis terbabit tiba di kamar hakim berkenaan kira-kira jam 9 pagi dan tamat mengambil kenyataan daripada Hamid 75 minit kemudian.

Tindakan itu diambil ekoran laporan polis dibuat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 15 Feb lalu berhubung pendedahan menggemparkan dibuat Hamid dalam sat afidavid.

Turut hadir, dua peguam Abdul Hamid, iaitu Haniff Khatri Abdulla dan Joy Appukuttan.

Menurut Haniff polis mengemukakan soalan berhubung laporan polis yang dibuat serta afidavid yang dikemukakan Hamid.

"Hamid menegaskan sekali lagi beliau sedia memberikan kerjasama dan akan menjawab semua soalan apabila suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bersidang," katanya.

Joy pula berkata RCI adalah forum yang wajar untuk isu itu ditangani.

"Anda bercakap mengenai salah laku bidang perundangan yang dibangkitkan dalam afidavid Hamid, dan RCI adalah forum yang sepatutnya untuk berbuat demikian, tambahan pula penubuhannya dipersetujui kerajaan," katanya.

Terdahulu Joy berkata tidak wajar untuk polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu Hamid untuk mendapatkan keterangannya kerana kerajaan bersetuju membentuk RCI bagi menyiasat dakwaan dibuat hakim terbabit.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan beberapa pegawai polis Bukit Aman merekodkan kenyataan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer berhubung afidavit setebal 63 halaman mengandungi dakwaan campur tangan dalam kehakiman.

Peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Hamid mengekalkan pendiriannya seperti yang tercatat dalam afidavit bahawa beliau bersedia memberi kerjasama dan butiran penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Beliau berkata, dua pegawai polis datang untuk mengambil kenyataan daripada Hamid di kamarnya di Istana Kehakiman yang berlangsung selama kira-kira satu jam dan 15 minit.

Mohamed Haniff berkata, beliau dan peguam Datuk Joy W Appukuttan hadir sama dalam sesi bersama-sama polis.

“Secara umum siasatan mereka berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pejabat Pendaftar pada 15 Feb.

Pada 14 Feb, Hamid mengesahkan afidavit itu bagi menyokong terhadap saman pemula yang dikemukakan oleh peguam Sangeet Kaur Deo terhadap Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Dalam saman pemula itu, Sangeet Kaur memohon antara lain, satu deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara telah gagal untuk melaksanakan tugasnya sebagai ketua kehakiman bagi mempertahankan integriti dan kredibilatinya apabila beliau gagal untuk menyiapkan siasatan berhubung dua dakwaan iaitu campur tangan kehakiman berhubung dengan keputusan kes rayuan hasutan oleh mendiang bapanya Karpal Singh dan kes pertukaran agama guru tadika, M Indira Ghandi.

Pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara, Mohd Aizuddin Zolkeply mengesahkan bahawa afidavit jawapan tujuh halaman itu pada 7 Feb menyebut bahawa siasatan dalaman terhadap dakwaan campur tangan kehakiman dalam kes rayuan oleh mendiang Karpal Singh ditangguhkan memandangkan pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap kes itu.

Dalam afidavitnya, beliau berkata, siasatan dalaman hanya digantung dan bukan dihentikan bagi memastikan tidak timbul pula prejudis terhadap siasatan yang sedang dijalankan polis serta rayuan yang tertangguh itu.

Pada 18 Feb, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemui Hamid di kamarnya berhubung afidavit beliau.

Pada 21 Feb, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan RCI bagi menangani dakwaan salah laku kehakiman.

Lihat Komen
ADS