Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cabar larangan merokok: Mahkamah dengar kes Mei ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 6 Mei akan datang untuk mendengar merit cabaran kes yang dibawa oleh tujuh ahli kelab Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok terhadap larangan merokok yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan di semua kedai makan sejak 1 Januari lalu.

Hakim Azizah Nawawi menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar mahkamah selepas bertemu dengan kedua-dua pihak plaintif dan responden.

Peguam Nasbal Harun, yang mewakili tujuh orang itu, memberitahu wartawan bahawa pihaknya telah diarahkan untuk memfailkan serahan bertulis mengenai perkara berkenaan sebelum tarikh pendengaran.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Kesihatan, yang dinamakan sebagai responden tunggal.

Pada 28 Januari lalu, tujuh ahli kelab itu mendapat kebenaran mahkamah tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Januari 2019.

Mereka ialah Mohd Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Tak ikut prosedur

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azizah Nawawi membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar sebutan bagi permohonan kes itu di hadapannya.

Sebelum ini dilaporkan pada 31 Disember pihak berkenaan telah memfailkan cabaran terhadap larangan merokok yang didakwa melanggar hak perlembagaan mereka, kerana merokok bukan perbuatan jenayah, dan oleh itu, adalah sah di sisi undang-undang.

Mereka mendakwa disebabkan mereka membayar cukai mudarat untuk rokok, mereka berhak untuk merokok di mana-mana tempat sahaja.

Mereka juga menyatakan bahawa perokok mempunyai hak sama rata kepada orang yang tidak merokok apabila mereka masuk ke dalam restoran atau tempat makan lain.

Ia mendakwa larangan itu bertentangan dengan undang-undang dan diperkenalkan secara tidak mengikut prosedur serta tanpa mengadakan perbincangan antara kementerian dengan perokok.

Kumpulan itu berkata kerajaan tidak memperuntukkan tempat alternatif atau mengarahkan pengendali restoran untuk menetapkan kawasan khas untuk merokok.

Mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan mengenai larangan merokok dan mengisytiharkan penguatkuasaan peraturan itu melanggar perlembagaan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan pendengaran permohonan semakan kehakiman difailkan tujuh individu bagi mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Jan 2019, ditetapkan pada 6 Mei ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nasbal Harun yang mewakili Mohd Hanizam Yunus dan enam yang lain manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak KKM sebagai responden.

"Hakim juga memerintahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 29 April," kata Nasbal kepada pemberita dan memaklumkan bahawa mahkamah sama pada 29 Jan telah memberi kebenaran kepada anak guamnya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

Tujuh individu itu ialah Mohd Hanizam, 52, dan enam yang lain iaitu Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan itu, mereka dan perokok yang lain yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok menamakan KKM sebagai responden mendakwa bahawa larangan merokok tersebut bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah dan aktiviti terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Mereka mendakwa rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepi dan didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan melalui larangan merokok dan ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

Selain itu, kata mereka, kerajaan juga tidak memperuntukkan kemudahan kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan untuk pengusaha premis makan melaksanakan budi bicara masing-masing bagi mengadakan kawasan merokok asing.

Mereka memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kementerian dan memohon perisytiharan bahawa keputusan penguatkuasaan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya sendiri atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan berkenaan.

KKM mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makan berkuat kuasa 1 Jan 2019 melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka.


Lihat Komen
ADS