PKR Melaka persoal sikap membisu JPN
Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajandran mempersoalkan tindakan membisu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap dakwaan kemungkinan terdapat langkah mengeluarkan nombor pengenalan baru secara tidak sah kepada anak perempuan Indira Gandhi yang masih tidak ditemui.
Rajandran berkata beliau hairan mengapa JPN tidak memberi sebarang reaksi sedangkan sudah empat hari perkara itu dibangkitkan kumpulan Indira Gandhi Action Team (Ingat).
"Masih tiada sebarang kenyataan rasmi dari JPN, seolah-olah mereka akur dengan dakwaan ini. Ini dakwaan yang sangat serius, takkan JPN nak tunggu sampai disiasat," katanya yang menggesa agar jabatan itu mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Ingat merupakan kumpulan yang ditubuhkan khas dalam usaha mencari anak perempuan Indira, Prasana Diksa yang disembunyikan oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah.
Muhammad Riduan meninggalkan rumah bersama Prasana ketika remaja itu berusia 11 bulan pada tahun 2009.
Dalam sidang media pada 23 Feb, Ingat juga mendakwa nombor MyKid Prasana telah ditukar, menyebabkan usaha untuk mengesan lokasinya semakin sukar.
Mereka mendakwa ini kerana rekod Prasana tidak ditemui dalam pangkalan data Kementerian Pelajaran.
"Daripada pasukan siasatan kami, kami tahu dia tidak ditemui dalam mana-mana pangkalan data sistem pendidikan. Jika Ridhuan membawanya ke mana-mana, dia pastinya mendaftarkan persekolahan menggunakan nombor MyKid sedia ada.
"Kami syak ada langkah mengeluarkan nombor pengenalan baru secara tidak sah, dengan bantuan JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," kata pengerusi Ingat, Arun Dorasamy.
Justeru, Indira berkata beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap JPN, KDN serta bekas menterinya Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Rajandran berkata JPN sebagai agensi bertanggungjawab tidak sepatutnya berdiam berterusan.
"Ini adalah soal keselamatan negara, di mana ada pihak mendakwa JPN bersama polis menyediakan MyKid secara tidak sah. Namun, tiada sebarang reaksi daripada kedua-dua pihak. Saya cabar pihak JPN segera menjelaskan dakwaan ini," katanya lagi.

