Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden PKR, Anwar Ibrahim malam ini hanya mendedahkan sedikit sahaja mengenai dakwaan bahawa PAS membayar Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sejumlah besar wang.

Bayaran itu menurutnya bagi menyelesaikan saman fitnah yang difailkan presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Claire sebanyak RM1.4 juta.

Menegaskan bukti ada bersamanya, Anwar mencabar PAS untuk menjawab dakwaan tersebut.

"Nama saya Anwar Ibrahim, kalau tak ada fakta saya tak lawan. Ini saya ada fakta memang ada bukti.

"PAS, khususnya ustaz (Abdul) Hadi (Awang) terpaksa bayar RM1.4 juta kepada Claire.

"Kalau PAS nak cabar, anytime, saya ada buktinya," katanya pada ceramah di Semenyih hari ini.

Ceramah itu diadakan di sebuah stesen bas terbengkalai di Semenyih, sebuah projek yang dimulakan oleh kerajaan BN sebelum ini tetapi tidak disiapkan dengan sempurna.

"Semalam saya tanya saya nak test, ada tak bayar kepada Claire? (PAS) Jawab no," kata Anwar.

Sebelum ini, Anwar mengulangi kritikan terhadap PAS dan mendakwa parti Islam itu berbohong.

Ini selepas PAS mempertahankan anggota jawatankuasa pusat parti itu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mengaku berbohong menerima wang daripada Umno.

Semalam, PAS menafikan Abdul Hadi membayar wang berkenaan kepada Rewcastle Brown sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah awal bulan ini.

Hadi menyaman Clare di London berhubung artikel Sarawak Report pada 2016 yang mendakwa perdana menteri ketika itu, Najib Razak menyalurkan sebanyak RM90 juta kepada pemimpin PAS dalam usaha mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pada 13 Feb lalu presiden PAS berkata beliau dan Sarawak Report bersetuju menyelesaikan saman itu dan memastikan ia tetap sulit.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Clare enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa Hadi telah membayar wang berkenaan.

Lihat Komen
ADS