Lelaki warga emas yang didakwa atas pertuduhan mengina Rasulullah, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saiditina Aishah terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh malam tadi.

Ia selepas tertuduh gagal membayar wang jaminan sebanyak RM20,000 sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen semalam lapor Berita Harian.

Sebelum itu, tertuduh, Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim M Edwin Paramjothy.

Menurut laporan itu, pada prosdiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal, tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin pihaknya mencadangkan jumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dengan alasan pertuduhan itu membabitkan kesalahan serius.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan ikat jamin rendah dengan alasan sudah berusia dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Anak lelaki saya akan datang untuk membayar jamin, namun saya tidak tahu berapa jumlah wang yang dibawa,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian dipercayai dihantar ke Penjara Sungai Buloh selepas gagal membayar wang jaminan.