Cuaca panas akibatkan beberapa buah negeri terjejas
Empangan di beberapa buah negeri dilapor mengalami penurunan paras air berikutan cuaca kering yang dijangka berlarutan sehingga akhir Mei.
Antara negeri yang terjejas adalah Sabah, Pulau Pinang dan Kelantan, menurut laporan media.
Di Sabah, hanya ada kira-kira 80 peratus simpanan air di lapan empangan utama yang dijangka bakal bertahan selama dua bulan sahaja.
Pengarah Jabatan Air Negeri Amarjit Singh berkata bahawa pembenihan air hujan bakal dilakukan jika cuaca panas ini berlarutan sehingga bulan April.
Sementara itu, di Pulau Pinang dikhabarkan cuaca panas terik sehingga menjejaskan beberapa empangan utama.
Empangan di Teluk Bahang dan Air Itam merekodkan bacaan terkini masing masing menurun sebanyak 1.2 peratus dan 3.2 peratus sejak semalam.
“Krisis air ini masih dalam kawalan dan mampu bertahan dalam jangka masa 100 hari lagi,” Ketua Pegawai Eksekutif Pembekalan Air Pulau Pinang Datuk Jaseni Maidinsa dipetik sebagai berkata.
Seterusnya, Kelantan mencatat penurunan paras air yang mendadak berlaku sejak awal bulan ini.
Portal Jabatan Saliran dan Pengairan menunjukkan penurunan paras air di Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Pergau.
Terbaharu, media melaporkan bahawa empat empangan utama di Johor juga berada di paras kritikal dan memerlukan langkah persediaan bagi mencari bekalan air dengan segera.
“Penduduk di Kota Tinggi dinasihat supaya berjimat dalam penggunaan air kerana empangan di Sungai Lebam sudah mencecah 2m bawah paras kritikal” kata Jimmy Puah, pengerusi komitmen pelaburan dan utiliti Perdagangan Antarabangsa Johor.

