Para pemimpin Umno Johor menyifatkan syarat Singapura untuk menyetujui cadangan membina jambatan menggantikan Tambak Johor sebagai pelik dan keterlaluan.

Ketua Pemuda Umno Johor Razali Ibrahim berkata, tindakan meminta kebenaran ruang udara dan penjualan pasir itu adalah amat keterlaluan.

"Ia langsung tidak melambangkan semangat kejiranan," tegasnya.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan syarat Singapura itu.

"Kita Pemuda Umno Johor tidak membenarkan ruang udara Johor dan Malaysia keseluruhannya digunakan oleh jet-jet pejuang Singapura untuk latihan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Razali, yang juga Anggota Parlimen Muar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam yang mendedahkan republik itu meletakkan syarat penggunaan ruang udara Malaysia dan penjualan pasir sebelum bersetuju untuk membina jambatan di Selat Tebrau.

Razali berkata kedua-dua syarat itu tidak lebih daripada dalih Singapura untuk tidak menyetujui pembinaan jambatan penuh merentasi Selat

Tebrau.

"Teruskan pembinaan jambatan separuh tanpa melengah-lengahkannya lagi. Tiada kompromi tentang ruang udara mahupun penjualan pasir, " katanya.

Beliau berkata pasir itu akan digunakan oleh Singapura untuk aktiviti

penambakan lautnya yang pada akhirnya akan merugikan Malaysia.

Syarat pelik

Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu Khaled Mohamad pula berkata, permintaan Singapura terhadap kedua-dua perkara itu bukan sahaja tiada kena mengena dengan pembinaan jambatan tetapi sesuatu yang amat pelik.

"Pembinaan jambatan itu adalah untuk keselesaan penduduk kedua-dua

negara kerana ia dapat melancarkan aliran kenderaan antara Malaysia dan Singapura, tetapi bukan sahaja republik itu enggan bekerjasama, ia

meletakkan pelbagai syarat yang amat pelik," katanya.

Khaled berkata ketika Singapura telahpun menaikkan taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Imigresen di republik menjadi sebuah pusat yang

moden, ia sepatutnya menyetujui hasrat Malaysia untuk berbuat perkara yang sama.

Anggota Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Halim Sulaiman pula

berkata, membenarkan pesawat-pesawat pejuang Singapura menggunakan ruang udara Johor akan mengancam keselamatan Malaysia.

Beliau berkata, pesawat-pesawat pejuang republik tersebut boleh

melakukan pelbagai perkara apabila berada di negara ini termasuk bagi tujuan merisik dan mengintip, walaupun hasrat awal adalah untuk tujuan latihan.

Halim berkata rakyat Johor juga menghadapi risiko jika pesawat-pesawat itu terhempas.

Sementara itu Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS, Mahfuz Omar pula berkata menjual pasir kepada Singapura dan membuka ruang udara Johor untuk latihan jet pejuangnya akan menjejaskan masa depan negara.

"Permintaan Singapura itu sangat tinggi risikonya terhadap masa depan negara."

"Lebih baik tidak dibina jambatan baru daripada terpaksa menggadaikan masa depan negara," tegasnya.

Kepentingan tidak digadai

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, rundingan dengan Singapura mengenai pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan sesekali menggadaikan kepentingan rakyat dan negara ini.

Sambil berkata tiada apa yang baru berhubung syarat-syarat yang dikemukakan oleh Singapura untuk mendapatkan kerjasamanya bagi pembinaan jambatan itu, beliau menegaskan bahawa tiada keputusan yang telah dicapai mengenai perkara itu.

Beliau berkata biarkan perundingan di antara kedua-dua pihak itu berjalan dulu.

"Walau apa juapun kita tidak akan biarkan kepentingan rakyat dan negara ini tergugat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Biro Antarabangsa Pemuda Umno di sini.

Syed Hamid mengulas syarat yang ditetapkan republik itu sebelum bekerjasama dengan Malaysia dalam projek itu -- bahawa Malaysia harus menjual pasir kepada Singapura dan membuka ruang udara Johor untuk latihan jet pejuangnya.

Beliau berkata perbincangan adalah ditumpukan kepada pembinaan sebuah jambatan lurus serta beberapa isu berkaitan yang perlu dinyatakan dalam satu perjanjian jika ada kesejajaran antara kedua-dua pihak.

Malaysia, katanya, akan berusaha mencari satu persefahaman dengan Singapura melalui rundingan dalam usaha untuk menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat.

Semasa menarik perhatian kepada syarat Singapura itu di Kota Tinggi semalam, Syed Hamid berkata semua itu melibatkan sensitiviti dan bahawa Malaysia perlu mengkaji apa yang boleh dan yang tidak boleh diberikan.

Beliau juga berkata para pegawai kedua-dua negara akan mengadakan perjumpaan di Singapura sama ada pada akhir bulan ini atau awal Mac.

Singapura telah meminta penjelasan Malaysia mengenai hasrat negara untuk meneruskan dengan pembinaan jambatan berharga RM600 juta itu tanpa menunggu kata putus Singapura.