Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan mampu menampung subsidi RON95 tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Jelas Lim, ini demikian kerana kerajaan pusat berjaya memotong perbelanjaan yang tidak perlu.

"Saya rasa kita mampu kerana kalau lihat prestasi kita capai selama ni kita ada sikit penjimatan.

"Sebab itu pihak kerajaan umumkan pemberian BSH sebanyak RM300 untuk keluarga. Tambahan untuk bujang RM100. Dan 100 lagi untuk pelajar universiti.

"Semua datang dari penjimatan yang kita jangka kita dapat. Jadi kalau dapat penjimatan tentu kita akan kongsi dengan rakyat. Ini adalah sebahagiannya," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Lim berkata demikian sebagai menjawab soalan tentang jumlah yang dijangka akan diperuntukkan kerajaan untuk subsidi petrol sekiranya harga RON95 naik melebihi RM2.08 seliter, dan sama ada Putrajaya melihat ada keperluan untuk belanjawan perbekalan bagi tujuan itu.

"Saya rasa ia masih dalam kemampuan hasil dari penjimatan yang diperolehi oleh kerajaan dengan pentadbiran CAT (berdaya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan)," tambahnya.

Tambah Lim, jumlah subsidi yang kerajaan berikan mengikut harga semasa minyak dunia, termasuk apabila berlaku lonjakan harga.

"Ini terpulang kepada harga minyak (dunia). Kalau harga minyak rendah tentu subsidi kurang tapi kalau naik atau melambung tinggi tentu akan lebih.

"Jadi ia terpulang pada harga pasaran. Yang penting kita nak kurangkan beban rakyat.

"Sebab tu kabinet buat keputusan kurangkan harga siling untuk RON95," katanya selepas menyerahkan cek RM5 juta kepada organisasi Nasyrul Quran dalam majlis yang turut disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.

Pemberian cek itu merupakan sebahagian peruntukan kerajaan di bawah Belanjawan 2019 untuk organisasi dan aktiviti Islam. Nasyrul Quran merupakan badan bukan kerajaan yang mencetak al-Quran.

Sementara itu, berhubung isu lain, Lim menyatakan sokongan terhadap cadangan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang menghina agama.

"Tentu kena ambil tindakan untuk mana-mana pihak yang cuba buruk-burukkan mana-mana agama.

"Kalau ada langkah untuk tambah penalti (hukuman) itu harus disokong supaya kita dapat pastikan kedudukan harmoni dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

"Kebebasan berekspresi bukan sampai hina orang, cerca orang, itu kebebasan menipu, memfitnah dan menjatuhkan maruah. Itu tak betul," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS