Rakyat Johor perlu bijak memperjuangkan isu eksploitasi oleh Singapura terutamanya isu harga air murah yang dijual kepada negara itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Singapura sebagai negara maju dengan pendapatan per kapita AS$18,000 tidak seharusnya membeli air daripada negara dengan perdapatan per kapita tidak sampai AS$10,000 pada harga murah iaitu 3 sen bagi 1,000 gelen sejak tahun 1926 lagi.

"Singapura tumbuh dengan pesat kerana kita bekal air kepada mereka, tetapi saya dapati orang Johor sendiri jarang bercakap mengenai perkara ini.

"Mereka menunggu rundingan oleh kerajaan pusat. Kerajaan negeri seolah-olah tidak tertekan.

"Kerajaan negeri juga perlu selalu sebut perkara ini, orang kaya bergantung kepada orang miskin, ini bukan sahaja tidak logik tetapi ‘morally wrong’.

"Kita kena tekan perkara ini," katanya ketika berucap pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan, di Putrajaya hari ini.