Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH perlu ubah sikap kecam kapitalisme, kata Dr M

Sembilan bulan selepas mengambil alih Putrajaya, masih ramai dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) masih bersikap seperti pembangkang termasuklah mengecam kapitalisme, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Sifat-sifat yang ada pada pembangkang dalam kerajaan masih lagi diteruskan.

"Bersikap seperti sosialis dan menganggap peniaga sebagai kapitalis yang perlu ditentang. Kerana katanya kapitalis menekan pekerja dan rakyat," katanya pada sesi pemukiman dengan kerajaan negeri Johor di Putrajaya hari ini.

Tanpa menyebutkan nama tertentu, Mahathir berkata, pemimpin PH tidak boleh lagi mengecam kapitalisme yang memberi kekayaan kepada negara.

"Mereka melabur dengan modal mereka, mendirikan perusahaan, beri pekerjaan dan mereka juga membayar cukai.

"Tanpa cukai, kerajaan tak ada cukup wang untuk tadbir negara atau negeri," kata Mahathir.

Dalam ucapannya, Mahathir berkata, rata-rata belum dapat menjalin hubungan baik dengan pengusaha dan peniaga.

"Mindset (mentaliti) kita mestilah anggap pengusaha dan peniaga sebagai rakan kita. Dan kita tolong mereka sehingga mereka berjaya.

"Kalau mereka tak berjaya mengumpul keuntungan, kerajaan juga tak dapat kutip cukai daripada mereka. Sebab itu kita perlu berusaha menjayakan mereka supaya mereka dapat keuntungan.

"Kerajaan negeri juga dapat bermanfaat dari pelbagai jenis cukai," tambahnya.

Pengerusi PH itu juga menegaskan bahawa, sekarang bukan masa untuk membangkang.

Sebaliknya, kata Mahathir, pemimpin PH ketika ini perlu berusaha keras, membuat keputusan dan melaksanakannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS