Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tribunal boleh cadang tarik manfaat persaraan bekas anggota SPR'

Tribunal terhadap enam bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas dakwaan salah laku bukan bertujuan akademik meskipun mereka sudah meletakkan jawatan, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Antara lain, katanya, tribunal itu masih boleh memberi cadangan agar Yang Dipertuan Agong memecat mereka sekiranya mereka didapati bersalah, dan seterusnya mengemukakan kesan dari pemecatan itu termasuklah menarik semula manfaat yang diterima mereka selepas bersara.

"Sangat penting bagi tribunal melaksanakan fungsinya dengan menyiasat aduan (terhadap anggota SPR berkenaan). Hasil siasatan itu boleh dijadikan panduan untuk SPR menjalankan fungsinya.

"Sangat simplistik untuk mengatakan tugas tribunal hanya memberi cadangan sama ada mereka dipecat atau tidak," katanya kepada tribunal di Kuala Lumpur hari ini.

Peguam yang mewakili bekas anggota SPR berkenaan pula berhujah bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan tribunal memberi cadangan sama ada mereka dipecat atau tidak.

Peguam Shaharudin Ali berkata, memandangkan anggota SPR dilayan seperti hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan, ruang yang sesuai untuk memutuskan tindakan selain daripada pemecatan adalah melalui tribunal lebih rendah yang menangani salah laku kecil melibatkan hakim.

Shaharudin dan pasukannya mewakili bekas anggota SPR Othman Mahmood, Abdul Aziz Khalidin, Md Yusop Mansor, dan Sulaiman Narawi.

Bekas anggota SPR lain yang berdepan tuduhan dalam tribunal itu ialah bala Singam Karupiah yang diwakili peguam K Kumaraendran dan A Srimurugan, selain Leo Chong Cheong yang diwakili peguam R Kengadharan.

Mereka berdepan 13 dakwaan salah laku ketika menjawat jawatan sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Tribunal itu diketuai oleh Steve Shim Lip Kiong dan turut dibatisi oleh Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan Kok Wha dan Prasad Sandosham Abraham. Kelima-lima mereka merupakan bekas hakim mahkamah persekutuan.

Sebelum ini, peguam M Puravalen yang dilantik oleh peguam negara bagi membantu tribunal itu berkata kes berkenaan dianggap sebagai akademik kerana enam bekas anggota SPR itu sudah meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Thomas berkata tindakan Puravalen bercanggah dengan arahannya. Pelantikan Puravalen sudah ditamatkan.

Susulan itu Kumaraendran membantah dengan berkata bahawa tuduhan mengatakan tindakan Puravalen bercanggah dengan arahan peguam negara tanpa kehadiran peguam itu sendiri adalah tidak adil.

Srimuragan pula membidas dakwaan peguam negara yang mengatakan bekas anggota SPR itu meletakkan jawatan untuk mengelak siasatan tribunal.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS