Satim: Hikmah wakil rakyat PH mati, PAS-Umno boleh gabung
Ketua Umno Puchong Mohamed Satim Diman dalam permohonan maafnya hari ini kematian wakil rakyat PH memberi hikmah iaitu membolehkan PAS dan Umno bergabung.
Permohonan maaf Mohamed Satim itu susulan kenyataannya yang mengaitkan kematian pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai "amaran Allah" sebelum ini..
Namun, beliau mendakwa kenyataannya disalah tafsir termasuk oleh ahli keluarga bekas wakil rakyat PH yang meninggal dunia.
"Saya cakap ia takdir Ilahi, jadi ambillah iktibar. Cuba dengar betul-betul video saya.
"Dah takdir Ilahi dan kebetulan wakil rakyat PH yang meninggal. Dan hikmahnya bila jadi macam ini PAS dan Umno boleh bergabung, tak bergaduh serta ada kerjasama. Salah ke (kenyataan itu)?
"Saya tak niat nak tuju pada sesiapa tapi kau ia menjadi satu perkara sensitif, saya merendah diri dan minta maaf," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Mohamed Satim yang pernah menjadi ketua pembangkang Selangor dalam ceramahnya di pusat daerah mengundi (PDM) Bandar Tasik Kesuma semalam juga berkata, Allah telah memberikan amaran sejak Sungai Kandis lagi agar rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat Tuhan itu.
Susulan itu, keluarga dan sahabat empat bekas Adun PH yang meninggal dunia menggesa Mohamed Satim memohon maaf.
Gesaan permohonan maaf itu juga dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang menyifatkan kenyataan Mohamed Satim sebagai biadab bukan saja terhadap terhadap waris bekas wakil rakyat PH, tapi juga kepada Tuhan.
Setakat ini, enam PRK telah diadakan selepas pertukaran kerajaan. Empat daripadanya diadakan susulan kematian wakil rakyat di kawasan tersebut.
Empat wakil rakyat PH yang meninggal dunia baru-baru ini ialah Allahyarham Dr Shaharuddin Badaruddin (Sungai Kandis), Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor (Semenyih), Allahyarham Mat Suhaimi Shafiei (Seri Setia), dan mendiang Ng Tien Chee (Balakong).

