Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM: Dr M guna politik lama BN ancam pengundi Semenyih

PRK SEMENYIH | PSM menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam - bahawa sia-sia jika pengundi Semenyih memilih pembangkang - sama seperti ancaman era BN.

Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan turut mengkritik Mahathir ekoran apa yang disifatkannya sebagai politik murahan.

Beliau membangkitkan era pentadbiran BN di mana pengundi sering diberi amaran pembangunan di kawasan mereka akan terabai jika menyokong pembangkang.

"Ini adalah politik lama yang kita belajar daripada BN...Ini politik kotor dan murahan.

"Ini satu bentuk ugutan. Apakah ini bererti jika PSM atau BN (menang), kerajaan tidak akan bina klinik kesihatan?" soalnya ketika sidang media di Semenyih hari ini.

Beliau merujuk janji calon PH Muhammad Aiman Zainali untuk membina klinik tersebut jika menang dalam PRK itu.

Dalam ceramah di DUN itu semalam, Mahathir yang juga pengerusi PH berkata pengundi tidak sepatutnya mensia-siakan undi mereka terhadap calon BN Zakaria Hanafi.

Kata Mahathir, ini kerana Zakaria tidak akan mampu melaksanakan pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tiada kuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

Ketika ditemui kemudian, Zakaria membantah kenyataan itu.

Katanya, undi terhadap BN akan menjadi referendum terhadap PH susulan gagal menunaikan janji manifesto PRU ke-14.

"(Undi mereka) tak sia-sia. Ini demokrasi dan masanya menggunakan kuasa rakyat.

"Memang dia kata sia-sia. Bagi orang ramai, ini masanya menunjukkan kuasa (mereka)," katanya lagi.

Sementara itu, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul menggesa Mahathir untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan seumpama ini.

Katanya, PH sebenarnya yang gagal menunaikan janji dan malah membuat "pusingan U" dalam beberapa dasar.

Lihat Komen
ADS