Hospital Semenyih: PM beri isyarat ke MOF, kata Dzulkefly
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad lebih memberi isyarat kepada Kementerian Kewangan dan bukan Kementerian Kesihatan untuk meluluskan peruntukan bagi pembinaan hospital baru di Semenyih.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata untuk meluluskan hospital ia bukan bidang kuasa Menteri Kesihatan sebaliknya di bawah Kementerian Kewangan.
"Tetapi KKM boleh lakukan planning sahaja, akhirnya yang menentukan mampukah atau tidak, itu bukan KKM tetapi Menteri Kewangan… kalau sudah bersedia dengan kewangan, saya lebih suka membina sebanyak mungkin fasiliti (hospital) kesihatan.
"Tun (Mahathir) lebih mengisyaratkan mungkin MOF perlu memberi peruntukan itu dan saya bersedia membangunkan apa pun fasiliti yang boleh membantu dan mengisi keperluan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kali kedua AMDI International Oncology & Medical Physics Symposium di George Town hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Mahathir sewaktu berucap pada majlis Ceramah Perdana Pakatan Harapan di Semenyih malam tadi.
Mahathir berkata permintaan hospital baru itu harus dipertimbangkan jika calon PH berkenaan menang pada PRK Semenyih yang akan diadakan esok.
Sementara itu, Dzulkefly yang juga anggota parlimen Kuala Selangor berkata, isu pembinaan hospital atau klinik kesihatan itu akan bergantung juga kepada kemampuan kewangan negara.
"Saya punya perancangan ada untuk seluruh negara, maknanya saya kena cermat dan berhati-hati.
"Tambahan pula dengan keadaan kewangan sedemikian. Kalau Tun mengizinkan itu, saya tidak mempunyai masalah untuk membangunkan klinik mahupun hospital, di dalam Semenyih atau kawasan parlimen itu sendiri," katanya.
Beliau berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet untuk mendapatkan sokongan daripada perdana menteri dan menteri kewangan.
"Kita perlu ada kerjasama dan komitmen daripada semua pihak untuk menguruskan perkara itu. Kalau Tun beri isyarat daripada itu, saya rasa kita tiada masalah untuk uruskan dengan baik," katanya.
- Bernama

