Paling Popular
Terkini

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin hari ini menyerahkan bukti berhubung pembelian kereta mewah jenis Porsche Cayman kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis.

Beliau tiba di bangunan agensi antirasuah itu di Kangar pada jam 9.30 pagi dan keluar kira-kira satu setengah jam kemudian.

Pembantu Hashim, Syafeeq Shukri berkata hanya bekas anggota parlimen Arau itu dibenarkan masuk bertemu pegawai SPRM manakala yang lain - termasuk peguamnya - menunggu di luar.

“SPRM tanya pasal isu kereta. Dia (Hashim) dah serahkan semua bukti seperti soft copy (salinan) geran kereta kepada SPRM.

"Kereta tu pun dah dijual dah," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Menurut Syafeeq, Hashim menyerahkan dokumen tersebut seperti yang dikehendaki SPRM serta menjelaskan butiran lain, seperti harga kereta serta jumlah cukai yang dibayar.

Menurut Syafeeq, dalam pertemuan itu, pegawai SPRM hanya bertanya mengenai kereta mewah yang digunakan anak Hashim, manakala isu dana RM90 juta yang didakwa diterima PAS daripada Umno tidak disentuh.

Ditanya reaksi Hashim sejurus selesai memberi keterangan, Syafeeq berkata pemimpin PAS terbabit sekadar berkata: “lapar".

Katanya hal itu kerana Hashim cuma memakan sekeping roti canai sebelum bertemu pegawai SPRM.

Untuk rekod selain Hashim, turut diarah hadir ke pejabat SPRM hari ini ialah bekas MP Kuala Krai, Mohamad Nasir Daud.

Menurut Mohamad Nasir, dia dipanggil untuk disoal siasat mengena isu dakwaan penerimaan dana RM90 juta kepada PAS. 

"Ya dikatakan (isu RM90 juta), mereka tanya saya sama ada tahu atau tak tahu.

“Saya kata memang saya tak tahulah," katanya.

Lihat Komen
ADS