Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dana RM90 juta PAS: Saya kata memang saya tak tahulah, kata Nasir

Bekas anggota parlimen PAS Kelantan, Mohamad Nasir Che Daud dipanggil memberi keterangannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Bharu, hari ini.

Bekas anggota parlimen Kuala Krai (1999-2004) itu tiba di bangunan ibu pejabat SPRM Kelantan kira-kira jam 9.50 pagi dan keluar daripada bangunan itu pada jam 11 pagi tadi.

Menurut Mohamad Nasir, dia dipanggil untuk disoal siasat mengena isu dakwaan penerimaan dana RM90 juta kepada PAS.

"Ya dikatakan (isu RM90 juta), mereka tanya saya sama ada tahu atau tak tahu.

“Saya kata memang saya tak tahulah," katanya ketika ditemui media selepas pertemuan dengan SPRM itu.

Terdahulu, Mohamad Nasir yang juga setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan tiba di bangunan SPRM dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux, ditemani isterinya.

Beliau adalah pemimpin PAS Kelantan ketiga dipanggil memberi keterangan kepada SPRM selepas anggota parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, ditanya sama ada pemimpin PAS Kelantan lain akan dipanggil Mohamad Nasir berkata, dia juga tidak pasti mengenainya.

Semalam, memetik sumber, Malaysiakini melaporkan SPRM merampas beberapa kenderaan mewah, sebuah rumah kedai dan wang tunai serta membekukan beberapa akaun bank berhubung siasatan ke atas PAS.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bagaimanapun menafikan rampasan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan pemimpinnya menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Pada 8 Februari lalu, bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa hadir hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan BN.

Isu itu timbul semula apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

Clare hari ini mengesahkan dia menerima bayaran RM1.4 jutas ebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi di luar mahkamah pada bulan lalu.

Lihat Komen
ADS