Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mokhtar: Kenang wanita kafir ini dalam doamu
Diterbitkan:  Mar 2, 2019 11:51 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik menyampaikan pesan kepada penyokong partinya agar mengingat wajah editor Sarawak Report ketika berdoa.

Kenyataan itu dibuat ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat menyiasat dakwaan penyaluran dana RM90 juta daripada Umno kepada pemimpin PAS seperti yang dilapor Sarawak Report sebelum ini.

“Kepada ahli-ahli dan penyokong PAS, ingat betul-betul wajah wanita kafir ini dan wajah-wajah sekutu-sekutu mereka ketika anda menadah tangan berdoa kepada Allah disetiap kejauhan malam.

“Bayangkan wajah-wajah mereka yang sedang galak memfitnah PAS. Gembiranya mereka dengan kerja-kerja mereka.

“Moga Allah hapuskan wajah-wajah ini dari kasihan belas Allah. Hidupkan mereka dalam kehinaan dan matikan mereka juga penuh kehinaan.

“Kecuali mereka kembali kepada Allah dan memohon maaf kepada PAS dan seluruh rakyat Malaysia yang mereka bohongi,” kata Mokhtar di Facebooknya, hari ini.

Mokhtar Senik 

Laporan Sarawak Report telah membawa kepada pertikaian di mahkamah dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyaman Clare. Bagaimanapun saman itu ditarik balik dan diselesaikan di luar mahkamah.

Dalam perkembangan terbaru semalam, Clare mendedahkan RM1.4 juta dibayar kepadanya bagi penyelesaian luar mahkamah itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama hari ini, Mokhtar turut menyampaikan pesan kepada penyokong Clare.

Mokhtar berpesan agar mereka mengingat wajah Clare kerana akan berkumpul bersamanya di Padang Mahsyar.

"Kamu perlu mengekorinya (Clare) meniti sirat. Kalau perlu letakkan gambarnya dalam rumah-rumah kamu dan tatapilah ia saban malam.

"Pujalah ia sebagai pahlawan unggul yang berani memimpin kamu menebarkan fitnah ke serata alam. Jangan lupa pesananku," katanya.

Semalam presiden PAS menyifatkan partinya kini dilanda serangan daripada segenap penjuru secara silih berganti.

Bagi menghadapinya, Abdul Hadi meminta pemimpin, anggota dan penyokong PAS agar mengadu kepada Allah, sambil mengingatkan doa orang yang dizalimi tiada hijab di sisi-Nya.

Lihat Komen
ADS