Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibidas susulan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka membantu rakyat dalam usaha mengurangkan kos sara hidup namun dalam masa yang sama menaikkan tarif elektrik kepada peniaga.

Bekas ketua pemuda Umno Wilayah Mohd Razlan Rafii berkata tindakan tersebut hanya mempermainkan perasaan rakyat.

“Kerajaan PH telah meluluskan kos Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM1.82 bilion ini dipulangkan kepada pengguna. Dan Rakyat akan mula membayar kos ini bermula dari bulan Mac tahun ini.

“Sebagai Rakyat, saya tidak faham apa maksud menteri mahu menurunkan kos sara hidup, bagaimana mungkin kos ini akan turun sekiranya elektrik yang kena bayar setiap bulan meningkat 55 peratus.

“Saya harap kerajaan PH serius untuk membantu rakyat menjalani kehidupan yang selesa tanpa tekanan peningkatan kos setiap bulan.

“Sepatutnya, kerajaan tidak bersetuju dengan permintaan TNB untuk meningkatkan tarif elektrik ini, dan menunggu sehingga harga-harga yang barangan mula stabil,” kata Razlan dalam kenyataannya hari ini.

Razlan Rafii 

Sebelum ini TNB menanggung kos kenaikan harga bahan mentah dan ini melibatkan RM 1.82 billion kerana agensi itu menyerap kos-kos berkenaan.

Namun kerajaan telah meluluskan kos berkenaan untuk dipulangkan kepada pengguna.

Pada 25 Feb lalu Bernama melaporkan, Timbalan Presiden PH Muhyiddin Yassin berkata lebih banyak inisiatif akan diumumkan kerajaan dalam membantu dan menangani masalah rakyat, selain langkah untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya.

Menurutnya lagi, PH sedang meneliti beberapa inisiatif termasuk berhubung kos sara hidup, harga getah dan kelapa sawit dalam tempoh tidak lama lagi.

Pendirian sama turut diulangi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, semalam dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Menurutnya walaupun kerajaan PH baru berusia sembilan bulan, ia kini melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan keadaan negara yang telah dirosakkan kerajaan terdahulu.

Katanya, ini termasuk usaha ke arah menurunkan kos sara hidup bagi mengurangkan beban rakyat.

Sementara itu, Razlan berkata walaupun kerajaan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan memperkenalkankan kembali Cukai jualan dan Perkhidmatan (SST), harga barangan tetap tidak turun.

“Pasaran tempatan hari ini terus bercelaru dengan pelbagai formula kerajaan, GST, SST, cukai yang tinggi dan pelbagai lagi.

“Sudah pastinya semua ini akan ditanggung oleh pengguna iaitu rakyat,” katanya.

Lihat Komen
ADS