Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berhasrat untuk menjadikan konsep “tahfiz agro” sebagai salah satu cabang institusi tahfiz di negara ini.

Beliau berpendapat, institusi tahfiz termasuk pelajarnya bukan sahaja dapat  mempelajari kemahiran tambahan tetapi turut menambah ilmu dalam bidang pertanian dan penternakan. 

“Saya akan cadangkan kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) bahagian hal ehwal agama Islam untuk adakan satu tahfiz agro.

“Sebelum ini kita ada tahfiz yang mengikuti TVET (program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional), ada juga tahfiz professional, tahfiz kejuruteraan.

“Tapi tak ada lagi tahfiz agro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Maahad Tahfiz al-Quran Wal Imamah (MATQI), di Klang semalam.

Katanya, konsep tahfiz agro mampu memberi pendapatan terhadap sekolah atau pondok berkenaan serta menjana ekonomi umat Islam.

Menurut anggota parlimen Parit Buntar itu lagi, idea konsep tahfiz agro itu timbul selepas melihat persekitaran MATQI yang dimiliki pengetuanya Azrul Hakim. 

“Tahfiz pertanian, kita boleh tengok berapa ekor kambing, ayam kita ada, dan orang infak wang mereka dengan pembelian berkenaan. Wang itu kemudian dikembalikan semula ke sekolah. 

“Satu idea yang bagus dan konsep tahfiz agro ini kita perlu luaskan,” ujarnya lagi.

Pelbagai hasil ternakan dan tanaman yang diusahakan oleh pengetua serta pelajar MATQI antaranya ayam kampung, itik, ikan keli, ikan patin serta beberapa ekor baka kambing, biri-biri malah mereka juga mempunyai kira-kira 100 ekor lembu.