Draf manifesto pilihan raya BN Sarawak siap
Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah menyiapkan draf manifesto pilihan raya negeri dan akan mengemukakannya kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selaku pengerusi BN negeri.
Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah menyiapkan draf manifesto pilihan raya negeri dan akan mengemukakannya kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selaku pengerusi BN negeri.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata selepas itu draf berkenaan akan diluluskan oleh Jawatankuasa BN yang dianggotai oleh semua parti komponen BN negeri.
Jabu yang juga pengerusi jawatankuasa manifesto pilihan raya itu berkata beliau akan mendapatkan temujanji dengan Abdul Taib secepat mungkin untuk menyampaikan draf manifesto itu.
"Jawatankuasa manifesto sudah mengadakan mesyuarat terakhirnya bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sehari mengenai isu-isu semasa anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di Kuching.
Menurut laporan Bernama, bagaimanapun beliau yang juga timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menolak khabar-khabar angin bahawa dengan siapnya draf manifesto itu, pilihan raya negeri sudah hampir tiba.
Ditanya mengenai intipati manifesto itu, beliau berkata ia akan menekankan kepada tanggungjawab BN bagi meneruskan pembangunan di Sarawak pada masa akan datang.
Jabu berkata ia meliputi semua aspek termasuk pembangunan Tanah Adat Bumiputera (NCR) dalam negeri.
Tempoh mandat bagi pentadbiran kerajaan negeri Sarawak pada masa ini akan berakhir pada 18 Nov ini, dan 72 buah kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri nanti.
Para pemerhati politik menjangka sidang dewan undangan negeri akan dibubarkan pada suku pertama tahun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang kesembilan.

