Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad menasihatkan penguatkuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) supaya sentiasa “stay cool” (bertenang) ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ketegangan antara pihak penguat kuasa DBKL dengan peniaga di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur semalam.

"Kita beritahu mereka (penguat kuasa) supaya sentiasa stay cool. Apa orang kata pun pekakkan telinga saja, " katanya kepada pemberita di majlis penyerahan kunci residensi JalilMas, di Bukit Jalil, tengah hari tadi.

"Bila sudah habis kerja sebagai penguat kuasa dah belajar pekakkan telinga terhadap kritikan dan rintihan dah boleh masuk politik. Pasal masuk politik kita buta macam itu juga (pekakkan telinga terhadap kritikan)," tambah beliau sambil ketawa.

Khalid sementara itu turut menafikan bahawa pihak DBKL memilih kasih ketika menjalankan tugas.

"Kalau tengok video itu, gerai itu sahaja dirobohkan gerai sebelah tak diganggu. Operasi dilakukan ke atas gerai itu sahaja sebab tak berlesen. Kalau sudah tak berlesen walau bangsa apa sekali pun akan diambil tindakan," tegas beliau.

Untuk rekod, satu klip video ditularkan sejak Khamis yang lalu, mendapati seorang peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan DBKL merampas barang milik gerainya cuba bertindak balas.

Malah, peniaga itu bersama seorang wanita yang tidak dapat dilihat dalam video tersebut menjerit bahawa DBKL hanya “attack” (serang) orang Melayu sahaja.

Tetapi, dakwanya, orang Cina dan warga asing yang berniaga tidak diambil tindakan.

Menjelaskan lagi, Khalid berkata tuduhan DBKL hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu sahaja tidak betul.

"Sebenarnya yang ini (tindakan) untuk Melayu saja, yang Cina semua tak ada ini semua tak betul. Pasal malam sebelum itu ada juga gerai-gerai Cina dekat Wangsa Maju yang dikenakan tindakan.

"Kita minta semua bertenang. Yang tidak lesen itu janganlah kamu timbulkan masalah merumitkan keadaan lagi," jelas beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, Khalid merasmikan majlis penyerahan kunci kepada residensi JalilMas satu program di bawah rumah mampu milik.

Dalam majlis hari ini, sebanyak 1,050 pemilik rumah menerima kunci rumah bagi kediaman yang berharga RM198,000.

Khalid dalam ucapan mengesahkan bahawa sehingga Mac 2019, terdapat sebanyak 55,970 rumah mampu milik melibatkan 89 projek yang telah mendapat kelulusan untuk pembinaan.

"Projek ini dinamakan sebagai Projek Residensi Wilayah boleh dipohon melalui portal rasmi Residensi Wilayah," kata Khalid.