Saifuddin lelong lukisan kerana dasar tak terima hadiah
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini melelong sebuah lukisan yang diterimanya sebagai cenderamata pada satu majlis pameran seni.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata keputusan melelong cenderamata tersebut selaras dengan pegangan prinsip integriti Pakatan Harapan (PH) yang telah menetapkan bahawa menteri dan anggota pentadbiran kerajaan dilarang untuk menerima sebarang pemberian, kecuali bunga, makanan dan buah-buahan sahaja.
Lukisan yang dinamakan 'Celestial Heaven' dihadiahkan oleh pelukisnya, Badariah Abdul Hamid sebagai tanda penghargaan selepas merasmikan Pameran Sulung Lukisan-Lukisan Badariah Abdul Hamid galeri Oasis Village di Petaling Jaya.
Saifuddin Nasution membuka bidaan pertama lukisan abstrak yang dilhamkan daripada alam semula jadi itu pada harga RM3,001 dan selepas beberapa siri bidaan lukisan itu dijual kepada seorang usahawan wanita, Jessy Lai pada harga RM4,888.
Hasil lelongan akan diberikan kepada dana badan kebajikan bagi membantu anak-anak pelarian Rohingya di Malaysia.
Sebelum ini Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook juga pernah menolak cenderahati yang berupa dua telefon bimbit ketika melancarkan perkhidmatan e-hailing tempatan, Diffride pada 18 Ogos tahun lepas.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Jun tahun lepas, dilaporkan sebagai berkata bahawa menteri-menteri kini tidak lagi boleh menerima hadiah di bawah dasar baharu yang dikuatkuasakan oleh kerajaan PH.
Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, kementeriannya akan mengkaji bagaimana hasil seni dapat dibangunkan sebagai bahan perdagangan dalam negeri khususnya dalam sektor perdagangan pengedaran dan kepenggunaan.
“KPDNHEP perlu meneliti bagaimana hasil karya seni dibangunkan sebagai produk perdagangan yang diedarkan dalam pasaran tempatan. Ini secara tidak langsung akan menggalakkan pelukis, pengukir dan penggiat seni lebih bersemangat untuk berkarya.
“Pada masa yang sama kita harus mencari jalan untuk menggalakkan pengguna menghormati seni dan hak cipta seseorang. Ini penting agar pengguna tidak ditipu dengan hasil ciplak,” katanya.
- Bernama

