Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas kalah, Mukhriz kata PH akan baiki kelemahan, kesilapan

PRK SEMENYIH | Susulan kehilangan kerusi DUN Semenyih hari ini, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata Pakatan Harapan (PH) perlu membaiki kelemahan dan kesilapan mereka.

Beliau berkata PH sudah berusaha sedaya upaya sepanjang dua minggu berkempen tetapi akhirnya pengundi telah membuat pilihan mereka.

"Kita sudah cuba sedaya mungkin untuk menang, tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka. Jadi kita terima dengan hati terbuka.

"Jadi mana-mana (aspek) yang kita rasa mungkin ada kesilapan dan kelemahan, kita cuba perbaiki sebaik mungkin," katanya ketika ditemui di bilik gerakan utama PH di Taman Pelangi, Semenyih malam ini.

Hari ini BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih yang dimenangi PH pada PRU lalu, selepas calonnya Zakaria Hanafi menewaskan Muhammad Aiman Zainali dengan perbezaan 1,914 undi.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil kira "isu berbangkit" terutama menjelang PRK yang akan diadakan nanti.

"Kita perlu terima hakikat (kekalahan) dan kali ini bukan nasib kita.

"Selepas ini (jika) ada lagi PRK, mungkin ditakdirkan di kawasan Bersatu bertanding, kita akan ambil kira apa-apa isu berbangkit (untuk menghadapinya)," katanya yang juga menteri besar Kedah.

Ditanya berkenaan faktor kekalahan BN, beliau berkata PH belum mengenal pasti hal itu tetapi tidak akan sesekali menyalahkan pengundi.

"Kita belum sempat buat kajian terperinci tentang keputusan...Saya tak boleh salahkan rakyat sebab rakyat yang buat pilihan," katanya lagi.

Dua lagi calon iaitu Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas) hilang deposit apabila masing-masing mendapat 845 dan 725 undi.

Dengan kemenangan ini, BN kini mempunyai lima kerusi DUN di Selangor manakala kerusi PH pula berkurangan kepada 50.

Lihat Komen
ADS