Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar ingatkan Umno jangan lalai lepas menang
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 12:19 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Umno dan BN diingatkan agar tidak mudah lupa atau terlalu leka dengan kemenangan pada pilihan raya kecil DUN Semenyih, kata Setiausaha Agungnya Annuar Musa.

"Sebesar mana sekalipun kemenangan, Umno-BN jangan mudah lupa atau terlalai.

"Jauh sekali kembali kepada “penyakit” lama ego, sombong, jauh dari rakyat serta segala amalan buruk seperti politik wang, politik war lords, rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya.

"Anggaplah kita baru berada di pangkal jalan, setelah sekian lama tersesat di hujung jalan. Perjalanan semula memerlukan masa yang panjang dan berliku," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan PRK Semenyih yang menyaksikan BN menawan semula kerusi itu selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan memperoleh majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Perbaiki perpecahan ummah

Mengulas lanjut, Annuar berkata paling utama kini Umno-BN perlu menjaga amanah rakyat serta kembali pada asas perjuangannya selama ini, iaitu berjuang kerana Allah demi kemuliaan agama, bangsa dan kemakmuran Negara.

"Antara agenda terpenting sekarang ialah perbaiki perpecahan ummah yang dibawa PH, terutama perpecahan umat Islam dan kaum peribumi. Gantikan dengan perpaduan dan penyatuan.

"Seterusnya perbaiki polarisasi kaum yang dibawa DAP, di mana negara ini harus dibina atas asas kepelbagaian kaum melalui politik sejahtera lagi murni.

"Asas bina negara seperti yang terpasak dalam Perlembagaan perlu di semarakkan. Suasana saling menghormati hak asas semua kaum mesti terhormati agar tiada siapa rasa terancam, apa lagi kalangan majoriti," katanya.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail pula menyifatkan kemenangan itu sebagai keputusan yang sangat baik sekali gus mengekalkan momentum kemenangan di Cameron Highland tempoh hari.

"Gabungan pembangkang antara Umno dan PAS ini berjaya membuktikan bahawa rakyat sudah hilang percaya kepada kerajaan PH sekali gus berpihak kepada barisan pembangkang.

"Saya yakin dan percaya, dengan penambahan seorang lagi ahli Dewan Negeri Selangor yang berpihak kepada pembangkang maka suara pembangkang akan semakin kuat didengari, demi memperjuangkan kepentingan rakyat,"katanya. 

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata kemenangan pembangkang di DUN Semenyih merupakan isyarat yang jelas buat PH.

"Isyarat kedua kepada kerajaan Pakatan Harapan supaya mereka sedar sebenarnya mereka gagal dalam memerintah Malaysia dan rakyat tidak lagi termakan dengan harapan dan janji palsu Pakatan Harapan.

"Kemenangan pembangkang di DUN Semenyih juga merupakan isyarat jelas yang kedua kepada blok pembangkang supaya meneruskan persefahaman dan kerjasama agar menjadi gagasan pembangkang yang kuat demi menyuarakan denyut nadi rakyat Malaysia dan meletakkan kerajaan PH sentiasa berhati-hati dalam ketelusan pentadbiran mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS