'Tak yakin MCA, MIC punca bukan Melayu pilih PH'
Kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih memberikan isyarat bahawa pengundi Melayu semakin menolak Pakatan Harapan (PH) kerana kecewa dengan prestasi gabungan itu.
Analisa dilakukan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan mendapati kaum Melayu kini kurang berpuas hati terhadap pencapaian PH terutama dalam melaksanakan agenda Melayu serta Islam.
Isu kos sara hidup dan kegagalan PH menunaikan janji dalam manifesto pilihan rayanya juga dikatakan antara punca mengapa pengundi Melayu kian beralih arah.
Namun, di sebalik keputusan pengundi Melayu kembali menyokong BN, kaum Cina dan India khususnya di Semenyih dilihat masih terus setia bersama PH.
Menurut penganalis politik, Anbumani Balan, tindakan itu berpunca daripada rasa tidak yakin pengundi Cina dan kaum India terhadap parti-parti komponen BN.
"Kaum Cina menyokong PH kerana mereka tak nak BN yang dipalit dengan rasuah dan sebagainya kembali berkuasa.
"Manakala, kaum India pula bersama PH kerana tidak yakin dengan MIC," katanya kepada Malaysiakini.
Impak kos sara hidup
Tambah beliau, pengundi Cina yang memiliki kekuatan ekonomi pula dilihat tidak begitu menghadapi tekanan ekonomi seperti dirasai pengundi Melayu.
"Mereka harap PH mampu memulihkan ekonomi negara dalam masa dua atau tiga tahun akan datang.
"Selain itu, impak golongan ini dengan kos sara hidup dan isu-isu nasional yang lain sangat rendah. Jadi, tiada sebab bagi mereka untuk beralih semula kepada BN.
Selain itu katanya pretasi DAP berbanding MCA juga merupakan titik penting bagi kaum Cina untuk mengambil sikap 'tunggu dan lihat' terhadap pentadbiran PH.
"Barisan pemimpin muda DAP memberi satu tenaga positif kepada kaum Cina. Di pihak MCA pula hanya Presiden (Wee Ka Siong) bersuara," jelasnya lagi.
MIC masih dilihat lemah
Sementara itu, Anbumani berpendapat pengundi kaum India pula masih menganggap MIC sebagai parti yang lemah untuk menyuarakan kepentingan kaum tersebut.
Tambahnya, meskipun kaum India semakin hilang harapan terhadap PH, mereka tidak ingin mengambil risiko kembali kepada MIC.
"Ini boleh dibuktikan dengan jumlah peratus pengundi India yang keluar turun secara mendadak di PRK-PRK sebelum ini.
"Mereka tidak puas hati dengan PH. Jadi, tidak keluar mengundi.
"Harapan kaum India adalah memilih orang yang mampu membawa kaum ini ke tahap baru seperti memperjuangkan isu-isu sekolah Tamil dan kuil," katanya.
Pada masa sama katanya, MIC juga gagal membangkitkan janji manifesto PH mengenai kaum India, yang menyebabkan mereka tiada pilihan lain.
"Apa terjadi dengan manifesto khas untuk kaum India dijanjikan oleh PH? Berapa jumlah jawatan GLC diberikan kepada kaum India di bawah PH? Tiada siapa tahu. MIC yang sepatutnya membangkitkan isu-isu sebegini hanya berdiam.
"Ini mengakibatkan kaum India tiada pilihan lain selain terus bersama PH," tegasnya.

