Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan kesan taktik baru seludup ketum
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Polis Kelantan mengesan taktik baru penyeludup daun ketum yang menggunakan kereta sewa untuk membawa masuk bahan tersebut ke negeri berkenaan selepas menahan dua lelaki dan merampas 310 kilogram daun ketum bernilai di Kampung Bukit Ipoh, Batu Melintang, di Jeli pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli ASP Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata kedua-dua lelaki berusia 50 dan 30 tahun berkenaan yang dipercayai mengambil upah membawa masuk daun ketum tersebut untuk dipasarkan di Pasir Mas ditahan pada 9 malam, susulan maklumat awam.

"Hasil siasatan kedua-dua suspek mengaku kereta yang digunakan itu merupakan kereta yang disewa daripada pengusaha kereta sewa di Pasir Mas untuk membawa masuk ketum ke kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polid Daerah (IPD) Jeli di Kelantan, hari ini.

Nik Ahmad Kamil berkata siasatan awal mendapati daun ketum yang dianggar bernilai RM9,300 itu diambil daripada pembekal di Sik, Kedah.

"Sebelum ini pihak kami berjaya menumpaskan taktik yang sama iaitu menggunakan kereta sewa untuk tujuan menyeludup daun ketum ke negeri ini melalui pintu sempadan negeri Kelantan berdekatan Batu Melintang," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang daripada mereka mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kedua-duanya direman empat hari bermula Khamis lepas untuk membantu siasatan menurut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS