Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takiyuddin: Nampak macam Hadi tapi belum tentu Hadi
Diterbitkan:  Mar 4, 2019 9:34 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Selepas tular sekeping gambar menunjukkan tiga kelibat lelaki termasuk Abdul Hadi Awang dengan seorang bos syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seorang pemimpin PAS hari ini tidak dapat mengesahkan identiti tokoh tersebut.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata gambar yang tular tersebut tidak jelas atau kabur.

Justeru katanya beliau perlu menyemak gambar berkenaan sebelum dapat memberi kepastian.

"Kita tidak tahu perkara itu, namun saya akan semak nanti. Gambar berkenaan kabur, nampak macam dia (Abdul Hadi). Namun nampak juga bukan dia. Saya tidak boleh pastikan," katanya seperti dipetik BH Online.

Takiyuddin juga menjelaskan memang PAS mengenali bos GLC terbabit namun menegaskan beliau juga dikenali pemimpin PH termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Untuk rekod beberapa pemimpin politik juga mendakwa tokoh terbabit sebenarnya lebih rapat dengan Abdul Hadi.

Gambar itu mula menjadi perhatian ekoran pendedahan bahawa Abdul Hadi membayar editor Sarawak Report sebanyak RM1.4 juta bagi menyelesaikan saman fitnah di luar mahkamah UK.

Carian dilakukan bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli kemudian mengaitkan bayaran tersebut dengan bos GLC terbabit. Beliau dipercayai pihak yang mengeluarkan cek bagi membayar wang tersebut.

Tindakan itu juga menimbulkan tanda tanya, mengapa Abdul Hadi bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan samannya ke atas Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah.

Sementara itu Takiyuddin berkata PAS tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyerang parti itu, kecuali ia sampai ke tahap fitnah melampau.

"Sekiranya kita masih boleh pertimbangkan, kita akan jawab cara politik, tidak semestinya mengambil tindakan undang-undang.

"Bagaimanapun, jika fitnah yang teruk, kita mungkin akan pertimbangkan tindakan berkenaan. Namun, setakat ini belum ada lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS