Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019, didorong oleh susut nilai lebih rendah serta unjuran pasaran yang lebih baik.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata prestasi dana pelaburan strategik negara itu pada 2018 telah dijejaskan oleh beberapa perkembangan membabitkan aspek ekonomi dan sosial di dalam negara mahu pun di peringkat global.

“Pada masa sama, kerajaan turut menyuntik nafas baharu terhadap Khazanah yang membabitkan perubahan besar, termasuk mandat baharu.

“Penyusunan semula organisasi yang sedang dilalui ini akan membolehkan kami melaksanakan peranan bagi mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia bermula tahun ini," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion setahuns sebelumnya.

Pada tahun lepas, keuntungan dana itu dijejaskan oleh pengurangan penjualan, pendapatan dividen lebih rendah serta peningkatan susut nilai ketika tempoh peralihan Khazanah dalam keadaan pasaran yang suram.

Nilai portofolio Khazanah berdasarkan ukuran Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion setakat 31 Dis, 2018 selepas mencatat penyusutan sebanyak 21.6 peratus daripada RM116 bilion bagi tahun ke tahun.

Pada 2018, dana pelaburan itu telah mengumumkan dividen sebanyak RM1.5 bilion.

Bagi tempoh sama, aset boleh tunai berkurangan kepada RM136 bilion daripada RM157 bilion.

Prestasi portfolio jangka panjang Khazanah kekal di trajektori peningkatan dengan NWA mencatat pulangan 11 peratus setahun sejak 10 tahun lepas.

"Tahun lepas merupakan tempoh sukar bagi pasaran global dan tidak hanya di Malaysia. Semuanya berakhir dalam prestasi negatif pada 2018. Ini disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk ketegangan politik di peringkat global," katanya.

Menurut Shahril Ridza, portfolio Khazanah juga terus dipengaruhi oleh perkembangan domestik pada 2018 berikutan perubahan pengawalseliaan, unjuran yang lebih suram serta turun naik pasaran.

Malah, prestasi pasaran syarikat-syarikat utama yang dilabur oleh Khazanah turut susut pada 2018 termasuk Axiata (-26.9 peratus), Telekom Malaysia Bhd (-56.9 peratus), Tenaga Nasional Bhd (-7.9 peratus), IHH Healthcare (-7.6 peratus) CIMB (-9.3 peratus) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (-3.3 peratus).

Khazanah berkata ia akan memberi tumpuan kepada usaha pelaksanaan strategi pengimbangan semula portfolio selain memperkukuh kedudukan kewangannya pada 2019.

"Kami juga akan membangunkan dasar, garis panduan serta proses bagi struktur dwidana seperti dana komersial dan strategik selain menyusun semula dan mempertingkat keupayaan dalaman bagi menjayakan mandat yang diberi nafas baharu itu," katanya.

- Bernama