Lelaki khayal bawa polis temui 80kg ganja
Rasa syak sepasukan peronda polis yang memerhatikan kelakuan seorang lelaki yang khayal ketika memandu kereta membawa kepada penemuan 80 kilogram ganja di dalam kereta itu semasa ditahan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan ketika memandu Perodua Myvi di Kilometer 137 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Seberang Jaya pukul 9.30 pagi semalam.
"Semasa pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemui lima kotak di mana di dalamnya disembunyikan 80 ketulan ganja dianggarkan bernilai RM196,250,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Mertajam, hari ini.
Katanya lelaki yang didapati positif mengambil dadah jenis morfin dan memiliki empat rekod kesalahan dadah lampau itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dan dia kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.
“Siasatan kami juga adalah untuk mengetahui dari mana dia memperoleh dadah itu dan jaringan pengedarannya,” katanya.
- Bernama

