Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno pilih Nazri atau MCA dan MIC?
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 3:35 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Dua parti komponen BN - MCA dan MIC - membayangkan untuk tidak akan menghadiri mesyuarat majlis tertinggi gabungan berkenaan jika Nazri Aziz menyertainya.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pemimpin tertinggi MCA dan MIC petang ini mereka menegaskan bahawa pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN adalah tidak mengikut perlembagaan yang ada.

"Oleh yang demikian, kedua-dua parti menyampaikan pendirian yang jelas kepada Urusetia BN bahawa Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan Jumaat ini," katanya kenyataan itu.

Ia ditandatangani Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, S A Vigneswaran.

Walaupun tidak menamakan sebarang tokoh dalam kenyataan tersebut, Wee dan Vigneswaran boleh dianggap memberikan kata dua kepada pemangku presiden BN, Mohamad Hasan.

Kata mereka pendirian tersebut diambil demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang dan kesahihan mesyuarat tersebut jika ia dihadiri Nazri.

Menurut mereka, mengikut Fasal 8.3 (D) Perlembagaan BN, seseorang setiausaha agung hendaklah dilantik oleh pengerusi setelah berunding dengan dewan tertinggi untuk memegang jawatan selama dua tahun bagi sesuatu perlantikan dan individu terbabit bertanggungjawab ke atas pentadbiran BN.

"Pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan secara rasmi dalam Dewan Tertinggi BN walaupun ia diumumkan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Oktober 2018," jelas Wee dan Vigneswaran.

Kenyataan bersama itu turut mengecam tindakan anggota parlimen Padang Rengas itu apabila sekali lagi menggunakan jawatan setiausaha agung BN dan pada masa sama meneruskan kritikannya terhadap MCA dan MIC.

"Pendirian MCA dan MIC ialah, Nazri tidak mempunyai locus standi untuk membuat sebarang kenyataan atas kapasiti setiausaha agung BN.

"Sekiranya Nazri berdegil dan hadir ke Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, maka kesahihan mesyuarat tersebut akan dipertikaikan," tambahnya.

Ketegangan antara MCA dan MIC dengan Umno meruncing selepas kedua-dua komponen BN itu mendesak supaya Nazri dipecat.

Ia adalah reaksi kedua-dua parti terbabit selepas Nazri dilaporkan menyarankan supaya sekolah Cina dan Tamil ditutup.

Nazri kemudiannya menafikan mahu sekolah-sekolah vernakular ditutup, sebaliknya mendakwa kenyataan dibuat beliau sebelum ini disalah tafsir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS