Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tipu tender Aswara: Kartel IT didenda hampir RM2 juta - MyCC

Lapan syarikat IT tempatan berdepan denda berjumlah hampir RM2 juta selepas Suruhanjaya Persaingan dalam keputusan sementara (provisional decision) mendapati syarikat berkenaan bersalah menipu bidaan pemerolehan kerajaan, kata MyCC hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail berkata syarikat berkenaan telah membentuk kartel di kalangan mereka untuk menipu ketika menghantar sebutan harga dan dokumen tender untuk empat projek IT berasingan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Menurutnya, MyCC melancarkan siasatan terhadap syarikat berkenaan selepas menerima aduan daripada Aswara yang curiga terhadap beberapa kejanggalan di dalam proses pemerolehan melibatkan tiga sebutan tender dan satu tender.

"Penipuan bidaan berlaku di antara dua dan tiga tahun dahulu.

"Siasatan MyCC mendapati lapan syarikat telah bersubahat di antara satu sama lain dengan berkongsi sebutan harga masing-masing dan maklumat kertas cadangan tender, memanipulasi harga dan menyediakan dokumen untuk satu sama lain.

"Pemenang projek juga berkongsi keuntungan mereka bersama pembida lain (dalam kartel mereka) yang gagal mendapat tender," kata Iskandar pada sidang akhbar di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur hari ini.

Bidaan terselindung

Syarikat berkenaan ialah Tuah Packet Sdn Bhd, Caliber Interconnects Sdn Bhd, Aliran Digital Sdn Bhd, Viamed Sdn Bhd, Novatis Resources Sdn Bhd, Silver Tech Synergy Sdn Bhd, Basenet Technology Sdn Bhd dan Venture Nucleus (M) Sdn Bhd.

Dengan berbuat demikian, Iskandar berkata syarikat berkenaan telah melakukan 'bidaan terselindung', suatu kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Menurut Iskandar, syarikat berkenaan kini berhadapan denda keseluruhan berjumlah RM1.93 juta atas kesalahan-kesalahan tersebut, berbanding jumlah keseluruhan projek sebanyak RM1.92 juta.

Iskandar berkata jumlah penalti tinggi itu belum muktamad lagi sementara serahan balas daripada syarikat berkenaan. Beliau berharap denda ini menjadi pengajaran kepada syarikat serta perniagaan lain yang mereka akan kehilangan lebih banyak daripada apa yang mereka mungkin dapat dengan melanggar undang-undang antikartel negara.

Iskandar berkata MyCC juga akan mengemukakan keputusan terakhir mereka mengenai kes itu kepada semua kementerian yang berkaitan untuk rujukan masa depan mereka semasa membuka bidaan tender projek.

Beliau menjelaskan suruhanjaya itu juga mengalu-alukan agensi kerajaan lain yang sebelum ini menggunakan perkhidmatan syarikat IT berkenaan untuk menghubungi MyCC sekiranya mereka mempunyai sebarang keraguan yang disyaki melibatkan aktiviti antipersaingan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS