Hakim- hakim di negara ini tidak mempunyai kekebalan mutlak, kata Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

"Jika sesuatu dilakukan dengan niat jahat, hakim itu tidak dilindungi," kata Ahmad Fairuz dalam perjumpaan dua jam dengan pihak media pada jamuan tengah hari di Putrajaya semalam.

Beliau berkata, sebaliknya, semua hakim dalam sistem kehakiman negara hanya berhak mendapat perlindungan bersyarat jika mereka melaksanakan tugas dengan suci hati.

Merujuk kepada Seksyen 14 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, beliau berkata, undang-undang jelas memperuntukkan bahawa tiada hakim yang boleh disaman dalam mana-mana mahkamah sivil kerana apa-apa perbuatannya atau perintah arahan untuk dilaksanakan yang dikeluarkannya dalam menjalankan tugas kehakimannya, jika pada masa itu, dengan niat suci, beliau mempercayai bahawa beliau mempunyai bidang kuasa untuk bertindak atau mengarahkan tindakan yang menjadi rungutan itu.

Ahmad Fairuz berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya mengenai cadangan yang dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Abu Talib Othman supaya kerajaan memperkenalkan akta mengenai perbuatan menghina mahkamah oleh hakim-hakim.

Menurut laporan Bernama, pada 5 Februari lepas, sebuah akhbar memetik Pengerusi Suhakam itu sebagai berkata bahawa beliau berharap akta itu dapat diperkenalkan untuk membina kredibiliti mahkamah dan mengukuhkan integriti hakim-hakim, selain memberi remedi kepada mereka yang dikecam secara tidak adil di dalam mahkamah dengan mereka tidak diberi peluang untuk didengar.

Ahmad Fairuz berkata perangai buruk hakim-hakim akan diambil tindakan di bawah Kod Etika 1994.

Beliau berkata sejak 1988 hingga kini, tiada hakim yang telah diambil tindakan kerana melanggar etika.

"Yang terakhir yang saya tahu ialah bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas pada 1988," katanya.

Perkhidmatan Tun Salleh ditamatkan oleh sebuah tribunal khas yang dianggotai oleh enam orang hakim yang dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan pada Ogos 1988.

Kelakuan hakim-hakim juga dilarang untuk dibincangkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kecuali terdapat usul substantif di mana notis telah diberikan oleh tidak kurang daripada seperempat daripada jumlah keseluruhan anggota Dewan Rakyat.

Peraturan itu termaktub di bawah fasal 126 Perlembagaan Persekutuan.

Kepada soalan sama ada beliau ada menerima sebarang aduan mengenai perangai buruk hakim-hakim, beliau berkata: "Setakat ini saya tidak ada apa-apa rungutan terhadap hakim-hakim. Mereka menjawab kepada hati nurani mereka sendiri. Mereka pergi ke mahkamah, duduk di kerusi hakim, melakukan kerja-kerja mereka dan mereka memang sangat rajin bekerja.

"Saya tahu beberapa hakim Mahkamah Tinggi yang membawa balik kerja ke rumah untuk membuat asas-asas penghakiman dan mereka dinafikan masa untuk bersama keluarga," kata beliau.