Tujuh anggota baru PH, wakil Cameron dijadual angkat sumpah
Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen ke-14 pada 11 Mac ini bakal menyaksikan pertambahan kerusi parti komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu Bersatu selepas parti itu meluluskan keanggotaan tujuh bekas anggota Parlimen Umno.
Mereka ialah anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Perubahan ini bakal menyaksikan kerusi anggota Parlimen yang terbabit berubah dari blok pembangkang atau bebas ke blok kerusi penyokong kerajaan.
Selain itu, anggota Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor yang berjaya mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PH, M Manogaran pada 26 Jan lepas dijangka mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat, 12 Mac ini.
Ramli adalah calon langsung BN dan bukan dari mana-mana parti komponen pembangkang itu.
Sehingga kini, PH menguasai 134 daripada 222 kerusi Parlimen iaitu 22 melalui Bersatu, 11 milik Amanah, DAP (42), PKR (50) manakala baki sembilan lagi melalui Warisan.
BN pula mempunyai 40 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (19), PAS (18), Bebas (7), Parti Bersatu Sabah (1), Upko (1), Star (1) dan PBRS (1).
Mesyuarat kali ini dijangka menyaksikan pembentangan usul memansuhkan Akta Hasutan 1948 bagi membolehkan kerajaan memperkenalkan akta baharu.
Pembentangan dibuat selepas mengambil kira pandangan semua kementerian dan impak kepada masyarakat, khususnya perasaan anggota keluarga pesalah yang berdepan hukuman itu.
Sementara itu, media sebelum ini melaporkan anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercadang membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan, bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun untuk dibentang pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menyasarkan pindaan itu diluluskan dan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak.
- Bernama

