Mahkamah Tinggi Shah Alam menangguhkan keputusan berhubung sama ada pekerja yang tidak direkodkan mempunyai hak menuntut gaji empat tahun yang tidak dibayar, kata pertubuhan hak asasi Tenaganita.

Tenaganita berkata mahkamah ingin mendapatkan penjelasan daripada Wisma Putra dan Kementerian Sumber Manusia sama ada Malaysia merupakan sebahagian daripada Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Migrasi untuk Pekerjaan dan Pekerja Migran (Ketentuan Tambahan), sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Pertubuhan itu berkata peguam penuntut akan menulis surat kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Sumber Manusia seperti diarahkan hakim.

"Mereka berharap dapat maklum balas segera daripada agensi kerajaan," kata Tenaganita dalam kenyataan media semalam.

Mahkamah menetapkan 15 April sebagai tarikh keputusan, kata kenyataan itu lagi.

Kes berkenaan melibatkan seorang warga Indonesia yang menjadi pembantu rumah dan pembantu kedai selama empat tahun setengah.

Individu itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak menerima RM550 gaji bulanannya, dan jumlah berkenaan kurang daripada RM700 yang dijanjikan oleh agennya.

Individu itu memfailkan tuntutan berjumlah RM30,265.32 melalui Mahkamah Buruh Pelabuhan Klang dengan bantuan Tenaganita pada 2018.

Bagaimanapun, pengarah tenaga kerja Misswandi Pardy menolak tuntutan itu dan berkata pekerja yang tidak direkodkan tidak mempunyai hak di Mahkamah Buruh.

Mereka kemudian membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Buruh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Pendirian Tenaganita adalah walaupun Malaysia belum meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Migrasi untuk Pekerjaan dan Pekerja Migran (Ketentuan Tambahan) 1975, Malaysia masih tertakluk di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik bagi melindungi hak semua manusia termasuk pekerja asing.

"Tambahan pula, sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Malaysia perlu menghormati hak semua pekerja asing selari dengan Deklarasi ILO mengenai Prinsip dan Hak Asas di Tempat Kerja (1998)," tambah Tenaganita.

[Baca berita asal]