Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kekosongan kerusi DUN Rantau terisi 13 April ini

PRK Rantau ditetapkan pada 13 April akan datang, kata Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata untuk hari penamaan calon pula pihaknya menetapkan untuk diadakan pada 30 Mac.

Dalam sidang medianya di Putrajaya hari ini Azhar berkata SPR dikehendaki mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan sesuatu kerusi DUN atau parlimen dimaklumkan secara rasmi.

Katanya notis kekosongan kerusi DUN Rantau diterima SPR pada 26 Feb lalu.

Menurut Azhar tarikh untuk pengundian awal pula ditetapkan pada 9 April.

Dengan pemilihan tarikh tersebut parti atau calon yang bertanding mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen.

Kata Azhar, proses penyerahan borang dan penamaan calon akan diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Seri Sendayan.

Mahkamah batal keputusan

Sekolah itu juga, katanya, akan menjadi pusat penjumlahan pada hari pengundian.

"Borang pencalonan boleh mula dibeli esok," katanya.

PRK Rantau dijangka akan menjadi lebih 'hangat' dan menarik perhatian ramai kerana dijangka melibatkan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, sebagai calon pembangkang.

Mohamad yang kini menjalankan tugas sebagai presiden Umno memang memenangi kerusi tersebut sejak dicalonkan di situ pada 21 Mac 2004.

Kemenangan itu juga membawa beliau dilantik perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

Pada PRU ke-14 tahun lalu Mohamad diumum menang tanpa bertanding selepas pegawai pengurus pilihan raya melarang pencabarnya - daripada PKR - memasuki dewan penamaan bagi menyerahkan borang.

Keputusan tersebut dicabar calon PKR, Dr S Streram dan membawanya ke mahkamah pilihan raya.

Pada Nov 2018 hakim Azimah Omar memutuskan kemenangan Mohamad terbatal dan mengarahkan PRK diadakan bagi memilih Adun bagi kerusi tersebut.

Jumlah pengundi di DUN Rantau setakat 25 Feb lalu ialah 20,926, Mengikut data PRU ke-14 jumlah keseluruhan pengundi berdaftar ialah seramai 20,427.

Daripada jumlah itu 54 peratus ialah Melayu, diikuti Cina 23 peratus dan India 23 peratus.

Azhar berkata seramai 5,150 petugas dilantik untuk bertugas dengan SPR di 55 saluran yang dibuka di 16 pusat pengundian.

Lihat Komen
ADS