Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung BN Nazri Aziz memutuskan untuk tidak hadir ke Mesyuarat gabungan itu Jumaat ini kerana tidak mahu mengganggu perjalanan mesyuarat itu.

Nazri mengeluarkan kenyataan itu selepas MCA dan MIC mengugut untuk tidak menghadiri mesyuarat itu sekiranya anggota Parlimen Padang Rengas berada sama dalam perbincangan tersebut.

“Kalau saya jadi halangan mereka (MCA dan MIC) adakan mesyuarat Jumaat ini, saya tak hadir supaya mesyuarat ini diteruskan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Pada 4 Mac lalu, Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata mereka tidak akan hadir ke mesyuarat Jumaat ini jika disertai Nazri.

Selain itu, mereka berdua berkata mesyuarat itu akan mempertikaikan pelantikan Nazri ke jawatan tersebut atas alasan tidak mengikut perlembagaan BN.

Wee dan Vigneswaran menjelaskan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Nazri tanpa berbincang atau disetujui oleh dewan tertinggi BN, oleh itu tidak mengikut fasal 8.3(D) perlembagaan gabungan itu.

Mengulas perkara itu, Nazri berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana jawatan tersebut dilantik oleh BN.

Sebaliknya Nazri berkata jika BN sebulat suara memutuskan untuk melucutkan jawatannya sahaja baru beliau akan berundur.

“Saya tak mahu ditolak keluar. (Tetapi) Okay, jika mereka keluarkan saya dalam mesyuarat itu,” katanya.

Keputusan dibuat parti, bukan individu

Jelas Nazri, beliau pada mulanya berhasrat untuk tetap hadir mesyuarat itu untuk mempertahankan dirinya, namun mengubah fikiran bagi membolehkan BN berbincang tentang resolusi MCA membubarkan gabungan berkenaan.

“Mula-mula saya nak datang, sebagai gentelmen lebih baik kita duduk bersemuka dan mereka boleh kata mereka tak mahu saya, kalau ada tuduhan kepada saya, boleh saya pertahankan diri saya.

“(Tapi) Kalau saya menjadi halangan kepada mereka hadir, saya tidak akan hadir supaya mesyuarat boleh diteruskan. Antaranya mesyuarat boleh benarkan MCA bentang mereka punya resolusi untuk bubarkan BN.

“Setuju atau tidak setuju saya tak tahulah. Keputusan dibuat oleh parti bukan individu,” kata Nazri.

Beliau turut menambah bahawa, jawatan setiausaha agung BN sebelum ini ditawarkan kepada Khairy Jamaluddin tetapi ahli Parlimen Rembau itu menolaknya.

“Selama enam bulan tiada siapa mahukan jawatan ini. Kemudian Ahmad Zahid tawarkan kepada saya, jadi saya ambil,” katanya.

Nazri berkata, beliau menerima jawatan itu selepas Ahmad Zahid yang merupakan pengerusi BN mengumumkannya pada Persidangan Agung Tahunan MIC tahun lepas.

“Semua perwakilan MIC bersorak (menyambut pelantikan) saya ketika ia diumumkan. Selepas empat bulan mereka kata tak diajak berbincang pula, saya tak tahu apa mereka kata,” katanya.

Lihat Komen
ADS