Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri mohon maaf pernah bantah kerjasama PAS-Umno

Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau sudah mengubah fikiran tentang kerjasama PAS dan Umno, selepas mempertimbangkan survival politik kedua-dua parti.

Ahli parlimen Padang Rengas itu berkata beliau kini sedar dan menyokong sepenuhnya kerjasama kedua-dua parti itu.

Nazri juga memohon maaf kerana pernag membantah kerjasama itu.

"Saya sedar dan saya sokong sepenuhnya hubungan Umno dan PAS.

"Saya minta maaf kepada Melayu di Malaysia, sama ada ahli atau penyokong PAS, kerana selama ini saya tegas mengatakan kita tak patut bekerja dengan PAS demi BN yang mempunyai keanggotaan berbilang kaum.

“Saya dah ubah fikiran," kata Nazri, ketika sidang medianya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Nazri dipercayai merujuk kenyataannya pada Dis 2016 yang mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju pembentukan kerajaan Melayu yang eksklusif dianggotai Umno dan PAS.

Ketika itu, Nazri menegaskan bahawa kerajaan Malaysia bukan sahaja kaum Melayu tetapi juga bangsa lain termasuk Cina, India, Iban atau Kadazan.

Semangat pelbagai kaum berakhir

Dalam perkembangan terbaru semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengumumkan 'persandingan' PAS dan Umno.

Mengulas perkara itu, Nazri berkata dengan kerjasama PAS dan Umno ketika ini, semangat BN untuk mewakil kepelbagaian kaum dan budaya sudah berakhir.

"Dengan gabungan ini (PAS-Umno), semangat BN untuk mewakili kepelbagaian kaum dan budaya yang dirumuskan pada 1969 sudah berakhir.

"Sebelum ini, saya mengutamakan kepelbagaian kaum dan budaya berbanding kaum saya sendiri.

"Kini saya percaya, demi survival politik, saya perlu utamakan orang Melayu dan Islam terlebih dahulu, sebelum kepelbagaian kaum," katanya.

Nazri menegaskan bahawa beliau menyokong usaha Mohamad berhubung kerjasama dengan PAS dan berharap kedua-dua parti itu tidak ‘bercerai’ sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Sebab itu saya terpanggil untuk survival Umno dan PAS, kita patut teruskan (hubungan ini). Kita pastikan jangan kita bercerai. Saya seratus peratus di belakang Mohamad dalam usaha ini.

"Saya (pernah) buat kesilapan politik dan saya mahu lihat Umno dan PAS teruskan (hubungan ini), untuk kita kita laksanakan apa yang baik untuk negara, kita kena berkuasa (mengambil alih kerajaan pusat).

"Untuk itu kita kena bekerja dengan PAS. PAS juga melindungi hak minoriti. Saya yakin sejak 25 tahun PAS tadbir Kelantan, saya tidak lihat penghijrahan bukan Islam dari negeri itu," katanya.

Hadir berkot hitam hari ini, Nazri mengakui akan turun padang mempromosikan dan menerangkan kerjasama PAS dan Umno kepada orang ramai.

Nazri dalam masa yang sama turut berharap kerjasama yang berlangsung bukan setakat Umno dan PAS, tetapi juga BN dan PAS, terutamanya ketika PRU.

"Macam mana pun keputusan Umno, kita sokong 100 peratus dan kita tak abaikan kaum lain, cuma utamakan kepentingan politik Umno," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS