Pengguna media sosial didakwa hina nabi ditahan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam menahan pemilik akaun Twitter, yng didakwa memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata suspek berumur 43 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum lain.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok (hari ini),” katanya.
Mohamad Fuzi juga menasihatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi kenyataan berbentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum di negara ini.
Dalam isu sama, polis juga menahan pemilik akaun Facebook yang didakwa melakukan kesalahan sama.
Suspek yang berusia 28 tahun, ditangkap bagi membantu siasatan di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan) serta seksyen 233 akta komunikasi dan multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan
Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada hari ini.
Dua hari lalu, tiga individu ditahan dan seorang lagi masih diburu polis kerana disyaki menghina agama Islam termasuk kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah.
Sehingga kini, polis menerima 929 laporan polis di seluruh negara berhubung kes itu dan membuka 16 kertas siasatan bersabit kes penghinaan agama Islam.
Di Seremban, Pemuda Bersatu Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Twitter terbabit kerana menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Laporan polis itu dibuat Ketua Pemuda Bersatu Negeri Sembilan, Muhammad Azim Mustafa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, di sini kira-kira 9 malam, semalam.
- Bernama

