Dari RM200 'Mei' tawarkan seks cuma RM30, rupa-rupanya...
Seorang lelaki kerugian RM30 dan telefon bimbitnya apabila ditipu seorang wanita yang menawarkan perkhidmatan seks.
Menurut media, lelaki berusia 22 tahun itu berkenalan dengan seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Mei di aplikasi WeChat.
Selepas beberapa ketika lapor The Star mereka berjanji untuk bertemu di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada jam 10.30 malam, 4 Mac yang lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji, berkata wanita terbabit meminta lelaki itu membayar RM200 untuk perkhidmatan seks.
Bagaimanapun katanya lelaki itu berbincang dengan Mei dan berlaku tawar-menawar. Kedua-dua pihak kemudian bersetuju bahawa bayaran yang diperlukan hanya RM30.
Apabila pemuda itu tiba di hotel yang dijanjikan, kata Habibi, dua lelaki tidak dikenali mendekatinya dan meminta wang RM30 sebagai bayaran, manakala telefon bimbit diarah diserahkan atas "tujuan keselamatan".
"Kedua-dua lelaki tersebut kemudian mengarahkan pemuda itu pergi ke bilik bernombor 411.
"Bagaimanapun pemuda terbabit mendapati tiada bilik dengan nombor sedemikian di hotel tersebut," katanya.
Pemuda berkenaan kemudian mencari dua lelaki yang mengambil wang dan telefon bimbit tersebut namun gagal menemui mereka.
Menyedari dia ditipu, kata Habibi, pemuda itu membuat laporan kepada polis.
Katanya siasatan kemudian dijalankan dan dua suspek - berusia 25 dan 30 tahun - ditahan pada tengah malam 6 Mac untuk membantu siasatan.
"Ini merupakan kes kedua melibatkan lelaki menyamar sebagai wanita yang menawarkan seks di WeChat," katanya.
Habibi turut menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial untuk mengelak mereka ditipu.

