Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah kilang pengeluar telur di Durian Tunggal di Alor Gajah, hari ini.

Ketua Seksyen Bekalan dan Harga Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Abd Hafidz A Rahim berkata hasil serbuan yang dilakukan susulan aduan orang awam dan pemantauan pihaknya itu, sebanyak 30,000 biji telur gred A bernilai kira-kira RM10,000 dirampas dalam operasi kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kilang yang telah beroperasi lebih lima tahun itu disyaki mencatut dengan menaikkan harga yang tidak munasabah sejak Disember tahun lepas.

"Kita menerima aduan bahawa telur ayam gred A yang dijual di sini pada harga 40 sen sebiji berbanding kira-kira 30 sen sebelum ia dinaikkan dan hasil pemeriksaan serta semakan dokumen yang dilakukan ke atas kilang pengeluar ini kita mengesyaki berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah.

Telur ayam gred A itu dijual pada harga agak tinggi selepas perayaan Krismas pada Disember tahun lepas dan walaupun telur tersenarai sebagai barang kawalan hanya pada musim perayaan, ia bukan alasan untuk pengeluar atau pembekal mengenakan harga tidak munasabah," katanya pemberita selepas serbuan berkenaan di Alor Gajah, hari.

Abd Hafidz berkata dalam serbuan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu, pihaknya menyita telur gred berkenaan untuk siasatan lanjut terhadap kos dan harga jualan.

Sementara itu, katanya sebanyak lapan pengeluar telur masing-masing tujuh di Melaka dan satu di Wilayah Persekutuan diambil tindakan atas kesalahan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 daripada 95 notis yang dikeluarkan di bawah seksyen sama dalam tempoh 7 Dis hingga 14 Dis tahun lepas.

"Dalam tempoh itu juga, kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas 99 premis di peringkat pengeluar atau peladang dan 236 premis di peringkat pemborong atau pembekal," katanya.


-- Bernama