Mesyuarat pertama Dewan Tertinggi BN yang diadakan sejak kekalahan gabungan itu tahun lalu berakhir hari ini tanpa sebarang kata sepakat mengenai sama ada untuk membubarkan BN.

Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata presiden MCA Wee Ka Siong membentangkan usul itu semasa mesyuarat.

"Mesyuarat itu tidak mencapai kata sepakat untuk membubarkan BN.

“Kita memang tahu (cadangan untuk bubar BN) dan ia tak akan berlaku sebab saya memang tak bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Kami masih utuh," kata Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula sekitar jam 11 pagi dan berakhir selepas dua jam setengah.

MCA dalam resolusi mesyuarat agung tahunannya tahun lalu antara lain mengusulkan supaya mandat diberi kepada jawatankuasa pusat BN untuk membubarkan gabungan itu dan memulakan usaha mewujudkan satu pakatan baru.

Malah beberapa hari lalu, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama memberi bayangan untuk keluar daripada BN, namun hanya akan membuat keputusan akhir selepas mesyuarat MT BN diadakan.

Wee dan Presiden MIC, SA Vigneswaran dipetik sebagai berkata bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain keluar daripada BN bagi meneroka satu pakatan baru yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.

Mohamad menegaskan sesuai dengan piagam BN, semua keputusan melibatkan parti itu perlu dilakukan secara konsensus, tidak boleh secara unilateral dan ini, menurutnya sekali lagi dipersetujui ketiga-tiga parti yang hadir.

Bagaimanapun, beliau berkata ketiga-ketiga parti bersetuju dengan resolusi lain MCA supaya BN diselaraskan semula mengikut kehendak semasa.

Justeru, beliau berkata satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan secepat mungkin bagi meneliti perkara itu dan tidak menolak kemungkinan mewujudkan BN 2.0 sekiranya ada keperluan.

"Umno memang tak nak lihat BN dibubarkan, kami dah banyak sejarah kepada negara...patut dikekalkan, kita boleh mengubah suai, bukan kerana sekali kalah terus nak kena bubar sebab itu kami menubuhkan jawatankuasa teknikal, terpulang kepada mereka untuk beri apa jua pandangan," katanya.

Pada mesyuarat itu, Mohamad berkata, isu kerjasama Umno dan PAS turut dibentangkan dan mendapat sokongan penuh MCA dan MIC.

"Tidak ada salah jika ia datangkan kebaikan kepada BN, kami tak terikat dalam perkara ini, kami bukan lagi dalam kerajaan, jadi setiap parti perlu perkasakan diri masing-masing, setiap parti perlu sedikit ruang atas sebab itu Umno  mempunyai sedikit ruang untuk bekerjasama dengan PAS.

"Macam dulu kita bagi MCA untuk guna logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil Balakong, jadi ia fleksibel kita bukan tegar sangat," katanya.

Beliau berkata usul sama ada PAS akan dibawa masuk sebagai parti komponen baharu BN bagaimanapun tidak dibincangkan.

Sementara itu, Vigneswaran berkata MIC yakin PAS tidak mempunyai hasrat untuk menyertai BN dan beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan PAS.

Wee pula berkata hasil mesyuarat MT BN itu akan dibentang pada mesyuarat Anggota Jawatankuasa Pusat MCA pada 17 Mac ini.