Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kekal hukuman mati, mansuh aspek mandatori'
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 10:02 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyatakan persetujuannya terhadap cadangan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tetapi menggesa hukuman mati tetap dikekalkan.

Presiden Ikram Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata pemansuhan aspek mandatori dalam hukuman itu akan memberi pilihan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman lain bagi kesalahan berkaitan jika didapati ia lebih adil.

Pada masa sama, katanya, hukuman mati tetap perlu dikekalkan kerana ia masih relevan.

"Ikram setuju untuk kerajaan memansuhkan semua hukuman mati mandatori selari dengan manifestonya, melibatkan 32 peruntukan daripada lapan akta iaitu Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Penculikan 1961, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010, Akta Senjata 1960 dan Akta Angkatan Tentera 1972.

"Bagaimanapun kami menegaskan hukuman mati tetap relevan dalam mencapai tujuannya iaitu balasan, penghindaran, pencegahan dan perlindungan masyarakat, setimpal dengan beratnya kesalahan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rang Undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman itu dijangka akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang yang akan bermula 11 Mac ini.

Menurut laporan The Malaysian Insight hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew berkata kerajaan masih menimbang perincian berkenaan pemansuhan hukuman mati.

Katanya, antara pilihan yang sedang diambil kira adalah memansuhkan hukuman mati secara keseluruhan atau memansuhkannya bagi kesalahan berkaitan dadah dan pada masa sama hakim memiliki budi bicara untuk menjatuhkan hukuman itu untuk sesetengah jenayah, seperti bunuh.

Liew bagaimanapun berkata kerajaan akan tetap memastikan hukuman mati tidak lagi mandatori bagi jenayah di bawah lapan akta seperti dalam manifesto PH.

Dalam pada itu, Mohd Parid mencadangkan beberapa langkah diambil agar peruntukan dan pelaksanaan hukuman mati dapat ditambah baik.

Antara cadangan itu ialah meningkatkan piawaian pembuktian daripada 'melangkaui keraguan munasabah' kepada 'melangkaui sebarang keraguan' untuk membolehkan hukuman itu dijatuhkan.

Katanya lagi, hukuman mati juga perlu dikekalkan bagi kesalahan jenayah yang membawa kematian atau "kerosakan besar daripada kematian" tetapi kajian boleh dibuat bagi kesalahan yang tidak membawa kematian atau "kerosakan besar daripada kematian".

"Perlu juga ada peruntukan yang membolehkan keluarga memberi maaf kepada pelaku kesalahan disertai bayaran pampasan sebagai alternatif kepada hukuman mati bagi kesalahan yang membawa kematian individu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS