Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno, PAS dapat 'hadiah' lagu Fantasia Bulan Madu

Rancangan antara PAS dan Umno untuk mewujudkan kerajaan perpaduan (UG) di empat negeri tidak akan berhasil memandangkan mereka hanya memperjuangan kepentingan Melayu saja.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata kedua-dua parti terbabit harus sedar bahawa empat negeri yang disasarkan mereka – Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang - tidak hanya didiami orang Melayu.

Sebaliknya kata Marzuki ada kaum lain turut menjadi sebahagian daripada penduduk negeri berkenaan.

“Saya tak nak komen banyak, tapi kita kena ingat, Malaysia ini bukan hanya ada satu kaum saja.

"Dari segi logik politik, mungkin kita boleh cakap soal perjuangan tapi untuk mentadbir negeri, kita kena lihat seluruh masyarakat yang berbilang kaum.

"Takkan ada parti yang boleh mendominasi kerajaan dengan hanya satu bangsa," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan, dilaporkan berkata parti itu mencadangkan penubuhan UG dengan PAS semasa mesyuarat jawatankuasa khas kedua-dua parti baru-baru ini. 

Perak, Kedah tak senang duduk

Dipetik Utusan Online Mohamad berkata ia akan dinamakan Kerajaan Penyatuan Ummah di empat buah negeri yang kini ditadbir BN dan PAS.

Menurut timbalan presiden Umno itu, satu jawatankuasa kerja diwujudkan di peringkat parti itu yang dipengerusikan Naib Presiden, Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa dibentuk PAS kelak.

Menurut laporan itu lagi, Mohamad berkata kerjasama itu akan membuatkan PH tidak senang duduk di Perak dan Kedah.

Mengulas perkara itu, Marzuki berkata semua pihak berhak membuat kenyataan dan menegaskan kerajaan di kedua-dua buah negeri itu berjalan dengan baik.

“Semua orang berhak bercakap, sekarang kerajaan negeri Kedah berjalan dengan baik, Perak pun berjalan dengan baik,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, PAS dan Umno mengumumkan telah rasmi 'bersanding' selepas bermusyawarah lebih dua jam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Melihat perkembangan itu, Marzuki juga melihat hubungan antara PAS dan Umno sebenarnya tidak begitu serasi.

Kata timbalan menteri luar itu lagi keberkesanan hubungan berkenaan akan terbukti gagal tidak lama lagi.

“(Jadi) saya nak tuju lagu pada mereka (sempena persandingan baru-baru ini): Fantasia Bulan Madu," katanya merujuk kepada lagu dinyanyikan kumpulan Search pada 1987.

Lihat Komen
ADS