Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wisma Putra: Statut Rome tak jejaskan kedudukan Agong
Diterbitkan:  Mar 10, 2019 10:52 AM
Dikemaskini: 10:52 AM

Wisma Putra memberi jaminan bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak akan terancam selepas Malaysia menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Putera mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini mendakwa bahawa raja-raja Melayu mungkin tidak lagi relevan selepas Malaysia bersetuju dengan statut berkenaan.

"Kerajaan telah mengkaji secara mendalam dan teliti dari segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rome.

"Keputusan dibuat setelah kerajaan yakin bahawa kedudukan dan kekebalan SPB Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Tunku Ismail telah ditanya oleh akaun Twitter "Friends of Johor" sekiranya Statut Rome mengancam kedudukan raja-raja Melayu.

Beliau menjawab: "Yes. Kedudukan Raja-Raja Melayu mungkin tidak relevan lagi selepas ini dan kedaulatan raja-raja akan pasti tergugat. Sekali gus ini akan memberi impak kepada status orang Melayu dan agama Islam di Malaysia."

ICC telah ditubuhkan di bawah Statut Rome dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.

Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Menjelaskan lebih lanjut, Wisma Putra berkata ICC berpegang kepada prinsip complementarity di mana Artikel 17 Statut Rome memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa di ICC sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan sesuatu jenayah antarabangsa.

"Dalam erti kata lain, ia merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort)," jelasnya.

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome. 

"Di kalangan negara-negara pihak ini terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom," jelas kenyataan itu.

Jemaah Menteri memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan pada 12 Dis tahun lalu.

Keputusan Jemaah Menteri itu telah disembahmaklum kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.

Lihat Komen
ADS