Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PRK RANTAU l Pakatan Harapan (PH) kekal mencalonkan Dr S Streram di PRK DUN Rantau.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Selain faktor dinafikan hak untuk bertanding pada PRU lalu, Anwar berkata pemilihan semula Streram juga atas sebab kelayakan akademik dan rekod kerjanya di sana.

"Kita memutuskan seorang tokoh (Streram) yang mempunyai kelayakan akademik dan berpengalaman sebagai penyelaras DUN Rantau," katanya.

Streram merupakan pakar bius di sebuah pusat perubatan swasta di Negeri Sembilan.

Beliau yang merupakan timbalan ketua cabang PKR Rembau sepatutnya bertanding di situ pada PRU ke-14, tetapi dihalang menghantar borang pencalonan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia menyebabkan pemangku presiden Umno Mohamad Hassan menang tanpa bertanding.

Pada Nov lalu Mahkamah Khas Pilihan Raya kemudian mengisytiharkan kemenangan itu tidak sah dan terbatal, serta mengarahkan pilihan raya semula diadakan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata keputusan mencalonkan kembali Streram telah dibincangkan di peringkat parti dan majlis pimpinan PH.

Katanya lagi, PKR tidak mahu terikut-ikut dengan "ada pihak" yang memainkan sentimen kaum dengan meletakkan calon Melayu dalam PRK itu.

"Kita juga tahu ada pihak akan guna isu kaum, isu agama untuk (pengundi) tolak calon kita," katanya lagi.

'Rantau bukan kayu ukur'

Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata keputusan di Rantau nanti tak boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai sokongan rakyat terhadap PH susulan kekalahan dalam dua PRK sebelum ini - Cameron Highlands dan Semenyih.

Katanya, Rantau adalah kubu kuat Umno yang dipegang selama tiga penggal oleh Mohamad yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan.

"Rantau adalah kawasan MB dulu selama tiga penggal, kalau (mahu dijadikan) kayu ukur yang paling mudah adalah Port Dickson kita menang dengan majoriti besar.

"Kita akan kerja kuat walaupun kita tahu itu kawasan timbalan presiden Umno dan kubu kuat Umno," katanya lagi.

BN dijangka akan mengekalkan Mohamad sebagai calon dalam PRK itu.

Jumlah pengundi di DUN Rantau setakat 25 Feb lalu ialah 20,926, Mengikut data PRU ke-14 jumlah keseluruhan pengundi berdaftar ialah seramai 20,427.

SPR mengumumkan penamaan calon bagi PRK itu pada 30 Mac manakala hari mengundi pada 13 April ini.

Lihat Komen
ADS