Menteri pertahan pelantikan di HRDF
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mempertahankan pelantikan dibuat kerajaan untuk menjalankan urusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).
Menurut anggota parlimen Ipoh Barat itu, anggota lembaga pengarah yang baru dilantik itu adalah tokoh yang boleh dipercayai dan bekas orang besar dalam dunia korporat.
"Takkan nak lantik Najib.
"Walaupun ada cadangan diiberikan, proses penilaian tetap perlu dilakukan," katanya seperti dipetik FMT.
Sebelum ini ada beberapa pihak menyatakan rasa tidak senang ekoran pelantikan sebuah firma guaman sebagai ejen kutipan bagi tunggakan bayaran kepada HRDF.
Pelantikan itu menjadi perhatian kerana Kulasegaran dilihat memilih kroninya bagi melaksanakan operasi di badan berkenaan.
Kata Kulasegaran, dakwaan beliau melantik kroni disebarkan oleh pihak tertentu yang kecewa selepas mereka tidak dipilih oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Kamu tak dapat, maka kamu marahlah. Kita tak boleh puaskan hati semua orang," katanya lagi.
Pada masa sama Kulasegaran mengakui beliau mengenali kebanyakan anggota lembaga terbabit, namun enggan mengesahkan sama ada mereka dikenali atas kapasiti peribadi atau sebaliknya.
Kata Kulasegaran ia bukan isu penting sebaliknya orang ramai perlu melihat kepada kelayakan tokoh yang dilantik.
"Sebelum ini semasa di sektor swasta mereka mendapat bayaran RM150,000 sebulan.
"Sekarang mereka bersara dan saya berpendapat mereka adalah orang penting dalam industri dan wajar kepakaran mereka dimanfaatkan," katanya.
Sebagai contoh Kulasegaran menamakan bekas pengarah urusan Hume Industries Bhd, Quah Thain Khan, yang datang dengan idea-idea baru untuk HRDF.
"Inilah cara bagaimana kami membentuk Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Uurus yang pertama dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan bagi memperbetulkan sebarang kesalahan (pentadbiran terdahulu) dan mencadangkan cara mengatasinya," kata Kulasegaran.

