Penggantungan Sarawak Tribune amaran kepada akhbar
Penggantungan permit akhbar Sarawak Tribune yang diputuskan pada mesyuarat kabinet Rabu lalu dianggap satu amaran kepada pihak akhbar supaya berhati-hati dalam mengamalkan kebebasan media.
Penggantungan permit akhbar Sarawak Tribune yang diputuskan pada mesyuarat kabinet Rabu lalu dianggap satu amaran kepada pihak akhbar supaya berhati-hati dalam mengamalkan kebebasan media.
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, tindakan itu bukan bermaksud kerajaan menyekat kebebasan akhbar tetapi menjaga keharmonian dan sensitiviti masyarakat di negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan budaya.
"Tindakan penggantungan ini baik, tepat dan amat wajar sekali," katanya pada pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Juxian Sport Centre di sini ibunegara.
Beliau berkata walaupun Malaysia antara negara yang banyak mengeluarkan permit akhbar, kerajaan masih memantau kebebasan media di negara ini.
Katanya, setakat ini terdapat antara 40 dan 50 permit akhbar dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kira-kira 23 permit daripadanya untuk akhbar berbahasa Cina dan 10 untuk akhbar berbahasa Inggeris.
Ditanya mengenai tindakan ketua pengarang Sarawak Tribune menghantar permohonan merayu penggantungan itu, Lim berkata ia terserah kepada siasatan polis dan kementeriannya akan terus memantau situasi itu.
Lim memuji umat Islam di negara ini yang tidak bertindak keterlaluan apabila menghadapi sesuatu isu yang menyentuh mengenai agama itu.
"Umat Islam di negara ini merupakan contoh yang baik dalam toleransi beragama di negara ini kerana mereka mengamalkan sikap bersederhana dalam menangani isu ini," katanya
Mengenai isu penggantungan Sarawak Tribune yang kemungkinan menjejaskan kempen pilihan raya negeri itu tidak lama lagi, Lim berkata isu itu tidak berkaitan.

