BERITA Malaysiakini

‘Saiz perkhidmatan awam besar akan kecilkan belanja pembangunan’

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN l Saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar akan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan sekali gus mengecilkan peruntukan perbelanjaan pembangunan negara.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya jumlah penjawat awam seramai 1.7 juta ketika ini tidak dikawal, kos perbelanjaan mengurus akan mengambil sebahagaian besar belanjawan negara setiap tahun.

“Ini juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi perlahan berikutan ketidakmampuan kerajaan berbelanja untuk projek-projek pembangunan yang menjana kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu rasional cadangan mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan berpendapat jumlah penjawat awam boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian khidmat, punca pendapatan pegawai yang terlibat dan peluang pekerjaan.

Strategi Dasar Penswastaan yang diperkenalkan pada 1983 masih relevan untuk digunakan bagi menangani isu jumlah anggota perkhidmatan awam dengan menumpukan kepada peningkatan produktiviti dan penggunaan sumber tenaga secara optimum, katanya.

Membeli kesetiaan

Kerajaan juga akan memastikan mereka yang terbabit disediakan peluang pekerjaan di sektor ekonomi lain sebelum pengecilan saiz perkhidmatan dilakukan, dengan menyediakan pelan holistik bagi menjamin transisi itu tidak memberi kesan kepada perjalanan atau pengurusan negara.

Selain itu Dr Mahathir berkata peningkatan perbelanjaan kerajaan juga berlaku berikutan tindakan pimpinan terdahulu yang cenderong menaikkan gaji penjawat awam dalam usaha untuk membeli kesetiaan mereka, sekali gus menaikkan kos sara hidup.

“Kita dapati bahawa kerajaan yang baru hilang kuasa ini menubuhkan bermacam badan dan beri gaji yang cukup besar sama seperti gaji swasta sehingga ada dapat puluhan ribu sebulan. Itu yang menyebabkan kos meningkat.

“Semua itu akan dihapuskan dan kerana gaji mereka terlalu tinggi dan khidmat mereka tidak diperlukan. Kononnya mereka nak membantu ekonomi negara, tetapi tidak nampak kesannya jadi badan-badan ini kita akan hapuskan. Menambah jawatan pasal nak bagi tempat pada ahli politik itu bukan cara kita," katanya.

Justeru beliau mahu penekanan diberi kepada peningkatan produktiviti dan bukan semata-mata tunduk kepada tekanan atau atas dasar membeli kesetiaan untuk menaikkan gaji.

Menurut beliau gabungan strategi pengurangan saiz perkhidmatan awam dan peningkatan produktiviti dijangka mampu menjana lebih banyak pendapatan dan pada ketika itu kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan kenaikan gaji bagi penjawat awam.

Pegawai kerajaan berkempen

Menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang menganggap Dr Mahathir menghina penjawat awam kerana mendakwa kenaikan gaji penjawat awam diberikan sebagai usaha membeli kesetiaan, Dr Mahathir berkata perkara itu terbukti apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan dilihat berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

“Bagi kita apabila perlu kita tambah kakitangan, kenaikan gaji kakitangan kita akan teliti tindakan itu supaya tak jejaskan kewangan negara,” katanya.

Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Dr Mahathir berkata kerajaan akan meneliti kelayakan penjawat awam untuk ditempatkan di sektor swasta dengan mengambil contoh langkah penswastaan Telekom Malaysia dalam menyelamatkan penjawat awam daripada kehilangan pekerjaan.

"Kita ada opsyen untuk memindahkan pegawai-pegawai ke pihak swasta dan kita boleh swastakan beberapa jabatan kerajaan. Seperti mana kita lakukan kepada Telekom. Ini pilihan mereka kalau mereka mahu menyertai Telekom semua boleh, ‘stay with the government’ (kekal dengan kerajaan) pun boleh tapi ada syaratnya," jelas beliau.

- Bernama