Seorang pemimpin Umno Kelantan menafikan dakwaan wujudnya kerenggangan hubungan antara Pengerusi Badan perhubnungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa dengan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamad.

Pemimpin berkenaan, Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar (foto) berkata hubungan antara kedua-dua tonggak utama Umno Kelantan itu berjalan dengan baik sekarang.

Katanya, hanya orang luar yang melihat hubungan mereka renggang sedangkan perkara yang sebenar adalah sebaliknya.

Beliau menegaskan, sikap berpuak-puak yang menjadi amalan politik Umno Kelantan selama ini sedang beransur-ansur dihapuskan.

"Dulu politik berpuak memang hebat di kalangan pemimpin Umno Kelantan, tetapi itu cerita lama dan kita telah memasuki era baru."

"Ahli Umno bersatu di bawah satu parti dan satu kepimpinan dan tidak timbul lagi puak itu.... puak ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di ibu negara semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan kononnya wujud pergeseran antara Annuar (kiri atas) dan Mutapa (kanan) hingga menyuburkan politik berpuak-puak dalam Umno Kelantan.

Dr Nik Mohd Zain turut mengakui salah satu faktor yang membawa kepada kejatuhan Umno di tangan PAS di Kelantan ialah sikap berpuak-puak dalam parti itu sendiri.

Tokoh Korporat yang menerajui syarikat perkapalan Nepline Berhad itu juga memberitahu Umno Kelantan kini membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan muda menyertai dan menerajui parti itu.

"Orang lama tidak lagi menganggap orang muda sebagai halangan. Sebab itu ketua-ketua bahagian Umno di seluruh Kelantan tidak pernah menyekat kemasukan orang muda di peringkat cawangan mahupun bahagian."

"Kami tidak pernah melihat kemasukan orang muda akan mengancam kepimpinan pemimpin lama ," katanya.

Dr Nik Mohd Zain juga Pengerusi Keahlian Umno Kelantan berkata, Umno negeri juga turut mengadakan kempen menambahkan ahli-ahli Umno di kalangan generasi muda.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana mereka tahu Kerajaan PAS tidak boleh memberi pembangunan kepada rakyat.

"Cuma orang-orang tua yang masih menyokong PAS tetapi jumlah mereka sudah tidak banyak," katanya.

Beliau berkata, ceramah PAS juga tidak mendapat sambutan kerana sudah tidak ada isu lagi yang membolehkan rakyat membenci kerajaan.