BERITA Malaysiakini

Kes 1MDB, SRC: K’jaan terikat dengan proses mahkamah, kata Dr M

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN l Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan Pakatan Harapan sedang berusaha untuk menunaikan janji-janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya mereka tetapi perbuatan kerajaan lama serta undang-undang tidak memudahkan usaha itu.

Menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai usaha-usaha untuk menangani dua kontroversi utama yang melanda pentadbiran semasa - pertama janji-janji manifesto yang tidak ditunaikan dan kedua, beberapa ahli kabinet memalsukan kelayakan akademik mereka.

“Kita sedang berusaha untuk tunai janji-janji dalam manifesto kita, tetapi perbuatan kerajaan lama serta undang-undang tidak memudahkan usaha ini.

“Sepatutnya hari ini kita sudah lihat mereka yang dituduh melakukan kesalahan berkenaan dgn kewangan negara khususnya SRC, 1MDB, telah dikemukakan kepada mahkamah, tetapi sebagai kerajaan patuh kepada kedaulatan undang-undang, kita patuh kepada tangguhan yang dibuat oleh mahkamah.

“Kita (kerajaan) hormat mahkamah walaupun rakyat tertanya-tanya mengapa mereka jelas terlibat dalam rasuah tidak dihadap dan dibicarakan dalam mahkamah. Ini soalan rakyat dan kita walaupun kita berusaha, tapi kita kena patuh peraturan-peraturan dan kedaulatan undang-undang yang kita terima dan laksanakan,” kata Mahathir (PH-Langkawi).

Perdana menteri bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan mengenai pemalsuan kelayakan akademik.

Keadaan itu menyaksikan Ahmad yang tampil mempertikaikan mengapa soalan tersebut tidak dijawab sepenuhnya, namun Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof menolaknya atas alasan masa bertanyakan soalan telah tamat.

Ahmad Maslan

Sejak peralihan kuasa kerajaan persekutuan, beberapa bekas pemimpin termasuk bekas perdana menteri Najib Razak telah diheret ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan jenayah termasuk penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Kes-kes berkenaan masih di peringkat awal perbicaraan dengan pasukan peguambela Najib sedang berusaha untuk menangguhkan perbicaraan dakwaan pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan RM42 juta daripada SRC International.

Sementara itu, semasa menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian), Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha mengesan dan membawa balik semua wang yang diseleweng oleh kerajaan terdahulu.

“Kita juga beri perhatian kepada pentadbiran dan pengurusan 1MDB kerana di situlah banyak wang yang hilang. Walaupun dilapor di tempat-tempat tertentu, tapi pada hakikatnya, wang itu telah hilang tak dapat dikesan,” kata beliau.